Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Buaian, buaian rajut dan mural bawa mesej kebersihan


Tarikh kemaskini: 31/10/2019





Laporan Eksklusif Oleh: Siti Salwa Shaari

KUANTAN, 31 Okt -- Buaian, buaian rajut (hammok) dan mural antara mekanisme digunakan Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang untuk menyampaikan mesej kebersihan secara santai, khususnya kepada golongan muda.

Pengarahnya Sharudin Hamid berkata penggunaan buaian yang diletakkan di pantai pelancongan seperti Pantai Sepat di sini dan Pantai Hiburan, Rompin dekat sini juga, mempunyai nama berunsurkan alam dan kemanusiaan.

Sebagai contoh, antara nama yang diberikan ialah Buaian Keindahan, Buaian Sehati Sejiwa, Buaian Cinta, Buaian Kebersihan, Buaian Kedamaian dan Buaian Silaturahim dengan harapan setiap satu daripadanya akan dapat menyebarkan mesej kepada masyarakat.

"Kita berharap apabila keadaan persekitaran yang lebih menarik dengan penggunaan buaian, buaian rajut, kerusi diperbuat daripada bahan buangan dan lukisan mural ini bukan hanya memperindahkan kawasan, tapi juga membuatkan pengunjung segan untuk membuang sampah merata-rata.

"Kebersihan adalah tanggungjawab bersama dan harus dimiliki semua anggota masyarakat serta ditanam sejak usia kecil, supaya menjadi tabiat dan seterusnya membolehkan Malaysia menjadi negara bersih pada masa depan," katanya semasa ditemui Bernama di Pejabat SWCorp di sini hari ini. 

Untuk lukisan mural pula, Sharudin berkata antara lokasi yang dipilih ialah di dinding Jalan Teng Que melibatkan penyertaan bersama 48 pelajar Politeknik Muadzam Shah, Rompin, Alam Flora dan Majlis Daerah Pekan. 

Katanya, mural bertemakan hitam putih yang mengetengahkan bangunan ikonik bandar Pekan seperti Padang Polo, Istana Abu Bakar dan Muzium Sultan Abu Bakar juga membawa mesej kebersihan dalam cara lebih menarik seperti slogan 'Pekan dah bersih, kenapa nak kotorkan?' yang lebih dekat dengan orang muda. 

Ini kerana, Sharudin berpandangan rasa tanggungjawab terhadap kebersihan perlu bermula pada usia muda dan di rumah, seperti perkara yang mudah dilakukan ialah mengasingkan sampah yang setakat ini, dilihat kesedaran melakukannya masih rendah. 

Sedangkan katanya, mereka yang rajin mengasingkan sampah juga 'boleh membuat duit' dengan menjual semula barangan kitar semula ke pusat pengumpulan, sekali gus membantu meringankan tugasan pekerja di tapak pelupusan, untuk mengasingkan sampah. 

"Mungkin ada yang beranggapan nilai yang dibayar oleh pusat kitar semula ini tidak lumayan bagaimanapun masyarakat perlu melihat perkara ini bukan dari aspek wang ringgit, sebaliknya nilai baik yang diterapkan," katanya. 

Sharudin berkata di Pahang, setiap hari purata kutipan sampah setiap hari ialah sekitar 1,200 hingga 1,300 tan dengan jumlah paling banyak ialah Kuantan iaitu antara 400 ke 500 tan sehari di Pusat Pelupusan Jabor-Jerangau di sini.

Jika di lokasi tumpuan seperti di pantai atau pasar malam, sudah pasti pembungkus makanan, bekas dan penyedut minuman serta plastik 'menjuarai' jenis sampah yang terpaksa dikutip pekerja pembersihan, walaupun terdapat tong sampah yang masih kosong berhampiran, katanya. 

Perbuatan tidak menjaga kebersihan juga, menurut Sharudin bukan hanya menyukarkan individu terlibat, namun juga masyarakat yang tinggal berhampiran memandangkan sampah yang tidak diuruskan dengan baik menarik kehadiran haiwan seperti tikus yang membawa penyakit.

"Malah, kami pernah menerima aduan bau busuk daripada orang awam yang menggunakan ruangan parkir berhampiran sebuah pasar pagi di sini, berkemungkinan kerana ada penjual yang membuang sisa minyak dan air ke dalam longkang. 

"Sebagai penyelesaian, kami meletakkan sangkar penyimpanan bagi minyak dan air masing-masing dengan kapasiti 20 tan supaya peniaga boleh membuang bahan itu untuk kami kutip, yang akhirnya berjaya menyelesaikan masalah bau busuk," katanya. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel