sgLwpA4iu2Q 2,000 murid Terengganu terima bantuan Yayasan Petronas
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

2,000 murid Terengganu terima bantuan Yayasan Petronas


Tarikh kemaskini: 31/10/2019





MARANG, 31 Okt -- Seramai 2,000 murid dari lebih 20 sekolah rendah terpilih di Terengganu, bakal menerima kelengkapan sekolah bernilai RM250 seorang, melalui program 'Kembali ke Sekolah' yang dianjurkan oleh Yayasan Petronas pada tahun ini.

Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Datuk Wan Mohd Hasnan Abdullah berkata semua murid yang terpilih adalah berasal daripada golongan keluarga berpendapatan rendah (B40).

"Mereka akan menerima kelengkapan sekolah seperti beg galas, botol minuman, baju hujan, alat tulis, dua pasang pakaian seragam sekolah, stokin dan kasut.

"Sumbangan ini adalah usaha berterusan Petronas, bertujuan meringankan bebanan golongan kurang berkemampuan, disamping membantu mengatasi kadar keciciran pelajar di seluruh negara," katanya di majlis penyampaian sumbangan kepada 400 murid di sini hari ini. 

Majlis penyerahan sumbangan yang dilakukan secara berperingkat itu dijangka selesai sebelum akhir November bagi memudahkan murid dan ibu bapa membuat persediaan untuk sesi persekolahan tahun 2020. 

Program Kembali ke Sekolah itu adalah sebahagian daripada fokus Yayasan Petronas dalam aspek kesejahteraan komuniti dan pembangunan, dengan menyediakan keperluan sara hidup serta membina keyakinan diri yang mana pada tahun ini, seramai 21,000 murid seluruh negara akan menerima manfaat dari program itu, yang melibatkan peruntukan sebanyak RM6 juta.

Terdahulu, dalam program berasingan di Kuala Nerus, Wan Mohd Hasnan berkata Petronas juga akan terus membantu kerajaan Terengganu memperkasakan bidang pendidikan khususnya dalam penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar melalui program Trenglish.

Tahun ini katanya program berkenaan diperluaskan ke 40 sekolah menengah serta 10 sekolah rendah di mana lebih ramai pelajar menerima manfaatnya dan lebih berkeyakinan untuk menguasai bahasa utama dunia itu.

"Melalui program ini, Petronas sangat optimis anak-anak Terengganu terus berjaya dalam peperiksaan awam, khususnya dalam Sijil Pelajaran Malaysia di mana mereka yang cemerlang akan mendapat tajaan pendidikan dari Petronas.

“Program ini juga telah menunjukkan impak positif di mana 21 pelajar telah menerima biasiswa Petronas untuk tahun 2018 dan 2019," katanya. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel