Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Rakyat negara jiran beli barang kawalan dalam jumlah banyak di sempadan Malaysia-Thailand


Tarikh kemaskini: 30/10/2019





PASIR MAS, 30 Okt  -- Rakyat negara jiran dikesan membeli barangan kawalan di sini dalam jumlah yang banyak untuk dijual semula di negara asal mereka pada harga lebih tinggi.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Adnan Abd Rahman berkata, modus operandi individu berkenaan adalah membuat belian barangan kawalan dan menyorokkan barang itu bersama barang keperluan lain di tengah-tengah muatan kenderaan.

Beliau berkata taktik dikesan selepas mengekori kenderaan yang membeli barangan di premis berlesen di sini dan sebaik cuba melepasi Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) kenderaan itu ditahan.

"Dalam kejadian terbaru pukul 9.45 malam semalam bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) kita telah menahan sebuah kenderaan Thailand yang menuju ke pintu keluar ke negara jiran.

"Hasilnya pemeriksaan yang dijalankan kita menemui sebanyak 1, 819 kilogram (kg) minyak masak dan 910 kg tepung gandum bernilai RM5,776 yang disembunyikan di bahagian kenderaan bersama barangan lain," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Turut disita dalam kejadian itu adalah sebuah kenderaan pikap negara jiran dan keseluruhan sitaan bersama barangan dianggarkan bernilai RM50,000.

"Kes ini akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi setiap kesalahan yang dilakukan atau penjara tidak melebihi tempoh selama tiga tahun atau kedua-duanya.

"Operasi Barang Kawalan Berjadual di sempadan akan diteruskan dengan kerjasama agensi lain iaitu PGA dan Pasukan Polis Marin (PPM) dan lain-lain," katanya.

 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji buat penjawat awam negeri

 
     

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     

UMT anjur majlis khas untuk graduan kehilangan ibu pada hari konvokesyen

 
     

Ahmad Zahid arah keluar RM17,953,185.21 bina bangunan Yayasan Akalbudi - saksi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel