Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kumpulan terakhir Malbatt 850-6 tiba di tanah air hari ini


Tarikh kemaskini: 30/10/2019





SUBANG, 30 Okt  -- Kumpulan terakhir  Batalion Malaysia 850-6 (Malbatt 850-6) tiba di tanah air hari ini selepas menamatkan misi pengaman selama setahun di Lubnan.

Kumpulan seramai 221 pegawai dan anggota itu tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini pada 5 petang dan disambut Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Lt Jen Datuk Kamarulzaman Mohd Othman TUDM yang mewakili Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan Panglima Angkatan Bersama Lt Jen Datuk Suhaimi Mohd Zuki. 

Kontinjen Malbatt 850-6 yang keseluruhannya dianggotai 850 anggota memulakan misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) pada 6 Sept 2018 dan menamatkan misi itu 17 Okt lepas sebelum menyerahkan tugas kepada MALBATT 850-7 yang diketuai Kol Khairul Anwar Soib.

Kumpulan pertama, kedua dan ketiga telah kembali ke tanah air secara berperingkat bermula 2 Okt lepas.

Kamarulzaman dalam ucapan amanatnya menzahirkan tahniah kepada anggota dan pegawai yang melaksanakan misi dengan cemerlang di Lubnan sekali gus mengharumkan negara. 

"Prestasi cemerlang yang ditunjukkan serta pengorbanan anggota Malbatt dalam menjayakan misi ini amat besar nilainya...hakikat ini diperakui kerajaan kerana ia adalah satu bentuk sumbangan yang mampu kami hulurkan kepada dunia luar atas prinsip menjunjung keamanan sejagat.

"Saya berharap kejayaan dan pengalaman sepanjang menjalankan misi ini akan menjadi pemangkin semangat ATM untuk terus berbakti demi negara," katanya. 

Sementara itu,  pegawai yang berkhidmat di 7 Rejimen Renjer Diraja Mekanis, Kpt Mohd Noor Hafiz Mohamed Rashid yang menyertai misi itu menzahirkan rasa syukur dapat menyelesaikan misi dengan jaya dan kembali ke tanah air dengan selamat. 

Menurutnya, selama setahun sebulan berada di negara bergolak itu, sudah tentu ada rasa bimbang namun ATM mempunyai Prosedur Operasi Standard dalam menangani setiap permasalahan dan anggota bergerak mengikut arahan. 

"Sudah tentu ada perasaan bimbang tetapi kami bergerak mengikut arahan dan kawasan yang bergolak itu tidak melibatkan kawasan operasi kami," katanya yang merindui anak lelaki tunggalnya yang kini sudah berusia 21 bulan. 

Mohd Noor Hafiz berkata  walaupun berjauhan dengan keluarga, perkembangan mengenai mereka dapat diketahui melalui panggilan telefon setiap hari. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     

Jangan jadikan tahfiz pusat pemulihan akhlak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel