Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis tahan dua individu, rampas dadah bernilai RM2.57 juta


Tarikh kemaskini: 30/10/2019





KUALA LUMPUR, 30 Okt  -- Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun ditahan polis kerana disyaki menjadi ‘penghantar’ dadah di sekitar Lembah Kelang sejak tiga bulan lepas.

Remaja tidak bersekolah dan berasal dari Melaka itu dikatakan dibawa ke ibu negara oleh bapa saudaranya untuk menjadi penghantar dadah, dengan upah RM2,000 bagi setiap penghantaran.

Beliau merupakan antara dua lelaki yang ditahan dalam dua operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di sekitar Lembah Klang, minggu lepas, yang menyaksikan pelbagai jenis dadah bernilai RM2.57 juta dirampas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata remaja terbabit ditahan 25 Okt lepas, kira-kira pukul 9.30 malam ketika dia berada di tepi jalan di Jalan Imbi, Bukit Bintang dan polis merampas 6.2 kilogram syabu serta wang tunai RM200 daripada remaja terbabit.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah itu bernilai RM300,000 dan boleh dibekalkan kepada 12,480 penagih,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata remaja yang tidak mempunyai rekod jenayah itu akan dituduh di mahkamah esok selepas direman enam hari dan polis kini giat memburu bapa saudara remaja terbabit, yang berusia dalam lingkungan 40-an.

Mazlan berkata dalam serbuan kedua kira-kira 8 malam pada 26 Okt lepas, polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun, yang membawa kepada penemuan sebuah makmal mini memproses dan membungkus dadah di sebuah kondominium di Jalan Cempaka, Ampang.

Beliau berkata lelaki berusia 29 tahun dan berasal dari Petaling Jaya itu ditahan di dalam sebuah kereta di kawasan Taman Shamelin Perkasa, Cheras, di sini kira-kira 6.30 petang.

"Hasil soal siasat dan setelah dipandu arah oleh suspek, polis membuat serbuan dan pemeriksaan di kediaman yang dijadikan makmal memproses dadah dan merampas sembilan kilogram syabu; 22 kilogram ketamin; enam liter cecair syabu; 8,100 biji pil ekstasi (2.2 kilogram); dan 5,000 pil eramin 5 (1.3 kilogram). Kesemuanya bernilai RM2.24 juta,” katanya.

Beliau berkata turut dirampas sebuah kereta Toyota Vios, peralatan dan bahan-bahan kimia yang digunakan untuk memproses dadah. Nilai rampasan dan sitaan ialah RM2.27 juta.

"Hasil siasatan awal mendapati makmal memproses dadah itu telah beroperasi lima bulan dan bergiat aktif dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar kawasan Lembah Klang,” katanya.

Mazlan berkata hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis syabu dan kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     

Jangan jadikan tahfiz pusat pemulihan akhlak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel