Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Syarikat Malaysia dengan pertumbuhan tinggi mampu menyumbang kepada ekonomi lain


Tarikh kemaskini: 30/10/2019





CYBERJAYA, 30 Okt  -- Banyak syarikat di Malaysia boleh dipertingkatkan kepada mencatat status “berpertumbuhan tinggi” dan mampu menyumbang kepada ekonomi lain, menurut Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Beliau berkata syarikat-syarikat tersebut mampu memenuhi definisi Bank Dunia mengenai syarikat berpertumbuhan tinggi -- mempunyai pertumbuhan mampan pada sekurang-kurangnya 20 peratus bagi tempoh melebihi lima tahun.

“Saya yakin sudah ada syarikat Malaysia yang berada di barisan hadapan di peringkat global daripada segi nilai bersih dan nilai korporat dan apa yang boleh mereka lakukan untuk dunia dan bukan sahaja di Malaysia,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Simposium Negara Keusahawanan di sini hari ini.

Beliau sekali gus meminta usahawan Malaysia supaya tidak hanya memberi tumpuan kepada ekonomi domestik, malah meneroka pasaran luar seperti China dan Eropah Timur dan berkongsi kepakaran mereka di negara-negara tersebut.

“Saya ingin memaklumkan kepada usahawan Malaysia bahawa ini bukan sahaja mengenai kita. Ada pihak yang telah menunjukkan apa yang mereka boleh lakukan kepada dunia. (Beberapa pasaran) cuba menarik perhatian orang lain untuk terlibat dalam industri angkasa misalnya, dan kita telah mempunyai kemahiran insani itu di Malaysia,” kata Mohd Redzuan. 

Beliau berkata kementerian itu dan agensi di bawahnya akan menggalakkan dan memperkasa usahawan tempatan agar memanfaatkan Industri 4.0 khususnya dalam bidang automasi supaya mereka dapat meningkatkan produktiviti dan menjadi kompetitif di pasaran global.

“Penggunaan kecerdasan buatan akan menjadi lebih ketara dalam tempoh beberapa tahun lagi. Sehubungan itu, kerajaan akan mencuba yang terbaik untuk meningkatkan infrastruktur bagi memastikan usahawan yakin untuk melaksanakan Industri 4.0 tanpa kebimbangan mengenai gangguan data dan isu-isu keselamatan siber,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     

Jangan jadikan tahfiz pusat pemulihan akhlak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel