Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Cuaca baik, banjir semakin pulih


Tarikh kemaskini: 30/10/2019





KUALA LUMPUR, 30 Okt -- Langit kembali cerah hari ini selepas beberapa negeri dilanda hujan lebat, ribut dan angin kencang sejak minggu lepas berikutan Monsun Timur Laut atau permulaan musim tengkujuh yang menyebabkan enam negeri dilanda banjir.

Hari ini, cuaca yang baik dan cerah di Perlis dan Pulau Pinang membantu mempercepatkan air banjir surut sekali gus membolehkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di dua negeri berkenaan ditutup sepenuhnya.

Banjir yang melanda Perlis mengakibatkan beberapa rumah di Arau dan Padang Besar ditenggelami air sejak 28 Okt lepas, manakala beberapa kawasan di Pulau Pinang pula dilanda banjir sejak 21 Okt, selepas hujan lebat berterusan dengan lebih 200 mangsa banjir dipindahkan ke lima pusat penempatan sementara apabila rumah mereka dinaiki air antara 0.2 meter hingga 0.5 meter.

Bagi empat lagi negeri iaitu Selangor, Perak, Johor dan Kedah pula bilangan mangsa yang dipindahkan terus menurun membolehkan sebahagian pusat penempatan sementara di empat negeri itu ditutup dan sehingga 4 petang ini, seramai 1,601 masih berada di pusat-pusat penempatan banjir.  

Sehingga 4 petang ini, SELANGOR mencatat bilangan mangsa paling tinggi dengan 869 orang daripada 281 keluarga dipindahkan ke lima PPS iaitu empat di Kuala Selangor dan satu di Gombak.

Smart Selangor Command Centre (SSCC) dalam satu kenyataan memaklumkan bagi Kuala Selangor, jumlah mangsa di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang kekal 604 orang daripada 167 keluarga; SK Jaya Setia (47 mangsa daripada 16 keluarga); dan SK Ijok (72 mangsa daripada 49 keluarga) manakala Balai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Matang Pagar di Gombak kekal dengan empat mangsa daripada sebuah keluarga.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir di lima PPS di Perak ialah 613 orang, menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Seramai 188 mangsa banjir di Kerian ditempatkan di dua PPS iaitu SK Changkat Lobak (149), SK Parit Haji Aman (126), manakala bilangan mangsa banjir di PPS Sekolah Agama Rakyat Padang Serai di Manjung berkurangan dari 71 orang pada tengah hari tadi kepada 66 orang; dan di Hilir Perak dua lagi PPS masih dibuka iaitu SK Changkat Jong (227) dan SK Dato' Yahya Subban (45).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa kira-kira 30 minit melawat mangsa banjir di SK Changkat Lobak, Bagan Serai yang dibuka sejak 21 Okt lalu akibat banjir di Kerian.

Dalam lawatannya itu, timbalan perdana menteri turut menemui dan mendukung seorang bayi perempuan berumur tujuh hari Nuradriana Sofia Muhamad Zaikri yang ditempatkan di PPS itu bersama ibu dan neneknya, sejak Jumaat lalu. 

Di JOHOR, hanya 16 orang daripada tiga keluarga masih berada di satu PPS di Batu Pahat berbanding 44 orang daripada 12 keluarga di tiga PPS, di negeri ini, pada tengah hari.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri Tan Chen Choon berkata penurunan bilangan mangsa berikutan penutupan dua PPS di Kluang selepas keadaan banjir di kawasan terlibat pulih sepenuhnya.

Di KEDAH, jumlah mangsa banjir turun kepada 103 orang membabitkan 32 keluarga dengan hanya satu pusat pemindahan sementara yang masih dibuka iaitu Dewan Cenderawasih di Pendang.

Pegawai Daerah Pendang Syed Khairol Anuar Syed Abidin berkata dua lagi PPS yang beroperasi sebelum ini iaitu di Kubang Pasu dan Baling telah ditutup petang ini.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     

Jangan jadikan tahfiz pusat pemulihan akhlak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel