7RHxlCYkC1w Al-Sultan Abdullah bergegas lawat kediaman terbakar di Kampung Baru Cina Benta
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Al-Sultan Abdullah bergegas lawat kediaman terbakar di Kampung Baru Cina Benta


Tarikh kemaskini: 30/10/2019





KUALA LIPIS, 30 Okt -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini melakukan lawatan mengejut ke Kampung Baru Cina di Benta, Kuala Lipis di mana 22 orang tinggal sehelai sepinggang selepas kebakaran awal pagi tadi.

Seri Paduka berangkat ke Benta sejurus selepas menerima keberangkatan tiba Raja-raja ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-255 di Istana Negara di Kuala Lumpur, pagi ini. 

Tuanku tiba dengan helikopter di padang Sekolah Kebangsaan Benta pada pukul 11.53 pagi sebelum sampai di kampung itu yang terletak berdekatan pada kira-kira pukul 12 tengah hari menggunakan sebuah kenderaan SUV yang menunggu baginda.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 1.08 pagi tadi, sebanyak 15 buah rumah di kampung itu musnah dalam kebakaran namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Pada kunjungan itu, Al-Sultan Abdullah bertitah mengingatkan rakyat agar berwaspada dan memberi perhatian kepada bangunan lama dan usang terutamanya pada aspek pendawaian elektrik yang boleh mendatangkan kemudaratan.

"Walaupun semua penghuni rumah selamat, ia merupakan peringatan kepada kita tentang betapa bahayanya kejadian ini yang boleh berlaku bila-bila masa sahaja jika kita tidak berhati-hati," titah Tuanku.

Seri Paduka turut menzahirkan simpati dan berharap keluarga mangsa yang terlibat bersabar dan agar semua pihak sama-sama memberikan bantuan.

"Pihak pejabat daerah dan pejabat yang berkaitan akan membuat laporan yang sewajarnya dan kita akan usahakan untuk mencari sumber-sumber untuk boleh kita baiki harta-harta (yang musnah) dalam kebakaran ini," titah Tuanku.

Pada kunjungan itu, Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan sumbangan kepada mangsa serta meninjau kawasan kediaman yang terbakar.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Nor Hisham Mohammad ketika ditemui di tempat sama berkata punca kejadian masih dalam siasatan dan akan diketahui dalam waktu terdekat.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel