Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Keluarga tak sangka Nurul Ashikin sedang hamil anak kembar


Tarikh kemaskini: 29/10/2019





KOTA BHARU, 29 Okt- Ahli keluarga anggota polis yang maut bersama isterinya dalam kemalangan di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur pagi tadi tidak menyangka isteri mangsa sedang hamil anak kembar.

Nur Azmawati Shamsuddin, 37, kakak kepada Allahyarham L/Kpl Muhammad Syakiran Shamsuddin, 30, yang maut dalam kemalangan pada pukul 7.59 pagi itu berkata keluarganya hanya mengetahui perkara tersebut selepas bedah siasat terhadap isteri mangsa, Nurul Ashikin Kamaruddin, 27, siap pada pukul 1 tengah hari tadi.

"Saya difahamkan usia kandungan sudah masuk dua bulan. Pasangan itu ada seorang anak lelaki sulung, Muhammad Arfan Ziqri yang berusia satu tahun 10 bulan.

"Ahli keluarga saya memang terkejut sebab kami belum dimaklumkan tentang arwah yang sedang mengandung ketika ini, mungkin sebab usia kandungan masih awal," katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.

Nur Azmawati berkata ahli keluarganya yang sempat menziarahi jenazah di Kuala Lumpur tadi turut menemui buku laporan kesihatan bagi ibu mengandung dalam beg tangan Nurul Ashikin.

Beliau berkata arwah Syakiran turut mempunyai kembar iaitu Muhammad Syakirin namun tinggal di kampung dan sudah berkahwin serta mempunyai dua orang anak.

Katanya, jenazah akan dikebumikan secepat mungkin di Tanah Perkuburan Islam Repek Hilir, Bachok namun ahli keluarganya belum memutuskan untuk mengebumikannya pada malam ini ataupun pagi esok.

Terdahulu, Muhammad Syakiran dan Nurul Ashikin maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan sebuah lori di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur pagi tadi.

Muhammad Shakiran yang bertugas di Balai Polis Seksyen 6 Shah Alam, Selangor cedera di perut meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) manakala isterinya yang cedera di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

Jenazah Allahyarham Nurul Ashikin yang merupakan petugas Jabatan Kerja Raya pula dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel