Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Anak terlantar hampir empat tahun, ibu rayu bantuan


Tarikh kemaskini: 29/10/2019





PASIR MAS, 29 Okt -- Terlantar hampir empat tahun dengan kaki dan tangan yang mengeras dan membengkok, itu penderitaan terpaksa dilalui seorang remaja lelaki berusia 19 tahun ekoran kemalangan jalan raya.

Berat mata yang memandang namun berat lagi bebanan yang ditanggung ibu remaja terbabit, Marsiah Mahmud, 49, yang perlu menjaga anak kedua dari lima beradik itu, Mohamad Sabri Hafiz Sudin, dengan hanya bergantung kepada pendapatan menjahit pakaian.

Marsiah berkata Mohamad Sabri Hafiz terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Salor, Kota Bharu selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta dari arah belakang.

“Akibat kemalangan itu, separuh tempurung kepalanya dibuang kerana adanya darah beku dan terpaksa menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian selama tiga bulan sebelum dibenarkan pulang,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah sewanya di Kampung Kangkong di sini, hari ini. 

Marsiah berkata Mohamad Sabri Hafiz yang dahulunya seorang yang periang dan ringan tulang kini hanya mampu terlantar.

Katanya bagi membantu meringankan beban suaminya, Sudin Mohd Nor, 64, yang bekerja sebagai buruh, beliau kini mengambil upah menjahit pakaian dengan pendapatan kira-kira RM300 dan tidak mencukupi kerana memerlukan kira-kira RM1,500 sebulan untuk keperluan anaknya seperti susu khas, lampin pakai buang dan bayaran ambulans untuk menghadiri temu janji di HUSM Kubang Kerian.

“Setiap bulan, saya perlu memperuntukkan kira-kira 10 tin susu khas bagi keperluannya. Satu tin susu berharga RM100 dan hanya bertahan untuk tiga hari sahaja. Ada ketika apabila kesempitan wang dan tiada pilihan lain, saya terpaksa memberi bancuhan susu cair kepada Mohamad Sabri Hafiz,” katanya.

Marsiah berkata, disebabkan kesempitan hidup, beliau juga terpaksa menyerahkan anak bongsunya Nurul Dayana, 6, ketika berusia 44 hari kepada adik iparnya.

“Walaupun berat hati, namun saya tiada pilihan lain memandangkan perlu menjaga empat lagi anak yang lain,” katanya yang turut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300. 

Sehubungan itu, Marsiah merayu sumbangan orang ramai bagi membantunya menampung kos keperluan harian Mohamad Sabri Hafiz.

Sementara itu, Ketua Unit Media dan Komunikasi Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS), Akidi Hamid berkata pihaknya sentiasa memantau keadaan dan keperluan remaja berkenaan dari semasa ke semasa. 

“Kami juga dalam perancangan melancarkan tabung bagi mengutip sumbangan orang ramai untuk meringankan kos keperluan bulanan mereka,” katanya menambah orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Bank Islam bernombor 03-102-02-005669-5 atas nama Marsiah Mahmud. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel