Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bomba Selangor sedia gerakkan 1,368 anggota dan pegawai hadapi banjir dan banjir kilat


Tarikh kemaskini: 25/10/2019





SHAH ALAM, 25 Okt  -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor bersiap siaga menggerakkan 1,368 anggota serta pegawai bagi menghadapi peningkatan kes banjir dan banjir kilat di negeri itu berikutan peralihan Monsun Timur Laut ketika ini.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata pihaknya juga telah mengenal pasti 52 kawasan ‘panas’ yang dijangka dilanda kejadian itu susulan daripada analisis trend fenomena berkenaan tahun lepas.

“Walaupun kesan peralihan monsun tidaklah terlalu hebat melanda pantai barat berbanding di pantai timur, namun kita tetap bersedia kerana sekiranya taburan hujan yang tinggi dan luar biasa, ia mampu mengakibatkan banjir kilat.

“Ini kerana, sejak Januari hingga Ogos lepas, kesemua kawasan terbabit merekodkan 75 kes banjir dan banjir kilat. Kejadian ini berlaku bukan dalam tempoh monsun yang membawa hujan lebat, sebab itulah apabila berlakunya peralihan ini (Monsun Timur Laut), kita lebih bersiap siaga,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat JBPM Selangor, di sini hari ini.

Menurut beliau, daerah Klang dan Hulu Langat merekodkan lokasi ‘panas’ banjir kilat paling tinggi iaitu masing-masing 11 kawasan diikuti Petaling (10), Gombak (10), Kuala Selangor (4), Sepang (3), Hulu Selangor (2) dan Kuala Langat (1).

Justeru itu katanya, JBPM Selangor melakukan pemantauan dan rondaan di kawasan tersebut setiap hari terutamanya apabila berlakunya hujan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Beliau juga mengingatkan orang ramai khususnya di kawasan terlibat supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti arahan pihak berkuasa sekiranya didapati berlakunya banjir atau banjir kilat.

Dalam pada itu, Hafisham turut menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan diri daripada melakukan aktiviti di air termasuk pendakian bukit sepanjang tempoh peralihan monsun berkenaan.

“Musim hujan sebegini boleh menyebabkan berlakunya tanah runtuh dan ini meningkatkan risiko kepada para pendaki. Selain itu, permukaan tanah yang licin juga boleh dikatakan mempunyai 80 peratus risiko untuk mendatangkan kecederaan kepada golongan itu.

“Pada bulan ini saja, JBPM Selangor telah memberi respon kepada tiga kes membabitkan pendakian pada musim hujan. Disebabkan itu, kita nasihatkan orang ramai supaya elakkan sementara daripada melakukan aktiviti ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel