Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Banjir di Jelebu: Kerajaan negeri tunggu laporan JPS - MB


Tarikh kemaskini: 25/10/2019





SEREMBAN, 25 Okt -- Kerajaan Negeri Sembilan masih menunggu laporan penuh daripada Jabatan Pengarian dan Saliran (JPS) negeri berhubung kejadian banjir yang melanda lima kampung di Jelebu, tengah malam semalam.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kerajaan negeri akan mengambil tindakan selanjutnya kepada keadaan itu bagi memastikan ia tidak berulang lagi, selepas laporan mengenainya diperolehi.

“JPS akan memaklumkan tindakan yang perlu diambil dalam masa terdekat serta tindakan untuk jangka masa panjang. Kita harap ini dapat mengurangkan risiko banjir di kawasan tersebut," katanya kepada pemberita selepas Program Pelancaran Sukarelawan Masjid (SUKMAS) di sini, hari ini.

Katanya kerajaan negeri akan menyalurkan segala bentuk bantuan kepada mangsa yang terjejas.

Dalam kejadian itu, 162 mangsa daripada 47 keluarga dipindahkan ke lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sini selepas kediaman mereka ditenggelami air ekoran hujan lebat, tengah malam semalam.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Jelebu dalam kenyataan di sini berkata kesemua PPS itu melibatkan Masjid Kampung Poum, Dewan Orang Ramai Kampung Chennah, Balai Raya Kampung Juntai, Balai Raya Simpang Durian dan Masjid Kampung Jerang dan sehingga pukul 2 petang ini, tiada PPS ditutup.

Antara kampung terjejas ialah Kampung Telekong membabitkan 20 mangsa; Kampung Chennah (20); Kampung Juntai (31); Kampung Simpang Durian (54) dan Kampung Jerang (37).

-- BERNAMA

 

 

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel