Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kastam Pahang rampas rokok seludup bernilai RM1.3 juta


Tarikh kemaskini: 25/10/2019





ROMPIN, 25 Okt -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM)  Pahang merampas rokok seludup bernilai kira-kira RM1.3  juta selepas menahan sebuah lori dalam Ops Sinar 2019 yang dijalankan di Kilometer 183.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Maran, semalam.

Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Azimah Abd Hamid berkata serbuan pada pukul 10.15 pagi oleh Bahagian Penguatkuasaan Kuantan itu dilakukan setelah pihaknya menerima maklumat berkaitan rokok seludup tersebut.

"Sebelum lori yang datang dari arah Maran ke Kuala Lumpur itu berjaya ditahan, pemandunya cuba menghimpit kenderaan JKDM tetapi usaha suspek terbabit gagal.

Ini kerana pihak JKDM berjaya memintas lori terbabit sehingga memaksa kenderaan itu berhenti di tengah Lebuhraya LPT. Malangnya suspek lelaki itu sempat melarikan diri dengan melompat ke seberang jalan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah  JKDM  Pahang  Maimon Zaid. 

Katanya, hasil pemeriksaan, pihaknya menemui  9,000 karton rokok jenama Canyon dan Canyon Menthol.

“Nilainya dianggar RM144,000 dengan nilai cukai sebanyak RM1.2 juta, menjadikan nilai rampasan kira-kira RM1.3 juta," katanya.

Azimah berkata rampasan berkenaan merupakan yang terbesar dibuat oleh JKDM  Pahang setakat ini dalam usaha membanteras penyeludupan rokok seludup di negeri ini.

"Kita juga sedang berusaha untuk mengesan suspek yang melarikan diri berdasarkan nombor plat dan alamat pendaftaran syarikat pada kenderaan dipandunya,” katanya.

Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000, sehingga tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, katanya.

Beliau dalam pada itu berkata untuk statistik di Malaysia bagi tahun 2019, sebanyak 4,255 kes penyeludupan telah dicatatkan setakat ini melibatkan pelbagai barangan dengan nilai cukai lebih RM513 juta manakala bagi negeri Pahang sebanyak 121 kes penyeludupan dicatatkan dengan nilai cukai lebih RM2 juta.

--BERNAMA  


 

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel