Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

65 ejen pelancongan dari tiga negara Asia terokai pantai timur


Tarikh kemaskini: 25/10/2019





KOTA BHARU, 25 Okt -- Seramai 65 ejen pelancongan dari Filipina, Thailand dan Indonesia dibawa menerokai negeri-negeri di pantai timur bagi mempromosikan produk dan lokasi pelancongan menarik yang terdapat di negara ini. 

Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur Hafiz Hazin berkata program julung kali diadakan selama empat hari sejak Rabu lepas merupakan hasil inisiatif EMV Group Travel.

“Promosi produk pelancongan itu bermula di Bukit Gambang, Pahang, sebelum mereka dibawa ke Kuala Terengganu dan berakhir di Kota Bharu esok.

“Masih banyak produk pelancongan di negeri-negeri di pantai timur ini yang masih belum dikenali umum secara dekat walaupun Pahang popular dengan kawasan tanah tinggi, Terengganu dengan keindahan pulau-pulau dan Kelantan yang kaya dengan kebudayaan serta makanan yang menyelerakan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Hafiz berkata usaha yang dilakukan EMV Group Travel untuk mempromosikan pantai timur sebagai produk pelancongan adalah sangat bagus dan pihaknya sangat mengalu-alukan inisiatif ini sekali gus dapat meningkatkan kedatangan pelancong ke negara ini.

“Program sebegini dilihat dapat membantu untuk mencapai objektif Tahun Melawat Malaysia 2020 dengan sasaran 30 juta pelancong sekali gus dijangka memberi pulangan sebanyak RM100 bilion kepada negara,” katanya. 

Dalam pada itu, Hafiz berkata tidak dinafikan masih banyak usaha yang perlu dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan dan negeri untuk menambah baik prasarana dan kemudahan pelancongan di negara ini.

“Insya-Allah, dengan usaha yang sedang diambil oleh pihak yang bertanggungjawab kita harap fasiliti dan kemudahan dapat dipertingkatkan menjadi lebih baik sebelum menjelang 2020.

“Ini sangat penting untuk menjaga imej industri pelancongan negara dan sekali gus menarik lebih ramai pelancong ke negara ini,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel