Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pusat jualan minyak untuk bot nelayan di Chendering terbakar


Tarikh kemaskini: 24/10/2019





KUALA TERENGGANU, 24 Okt  -- Sebuah pusat jualan minyak untuk bot nelayan di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering di sini terbakar, disyaki akibat perbuatan beberapa nelayan Vietnam yang bermain mercun.

Pengarah LKIM Terengganu, Tengku Mohd Anuar Tengku Mahmood berkata, kejadian kira-kira jam 3 petang itu telah menyebabkan kesemua lima saluran dan paip untuk menyalurkan minyak diesel di pusat tersebut musnah dan kerugian dianggarkan berjumlah RM150,000.

Katanya, kebakaran dipercayai bermula di saluran paip yang berada di dalam sebuah bangunan dan ia merebak hingga ke bahagian paip luar.  

“Semasa kejadian saya berada di dalam pejabat yang berdekatan tempat kejadian, apabila saya sampai api telah marak. Saya dimaklumkan sebelum kejadian beberapa nelayan Vietnam bermain mercun di kawasan berdekatan dan berlaku letupan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini hari ini.

Tengku Mohd Anuar berkata tindakan pantas pekerja di situ yang menutup paip tangki simpanan induk telah menyelamatkan 40,000 liter minyak diesel yang disimpan dan mengelakkan kebakaran yang lebih besar berlaku.  

Katanya, kebakaran tersebut telah menjejaskan kira-kira 1,600 nelayan dari Kuala Terengganu Selatan dan Marang yang mendapatkan bekalan minyak di pusat tersebut.

Ditanya mengenai nelayan Vietnam yang bermain mercun, Tengku Mohd Anuar berkata pihaknya telah mengenal pasti nama dan nombor pendaftaran bot mereka dan tindakan akan diambil secepat mungkin.  

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar ketika ditemui di tempat kejadian, berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3 petang dan seramai 22 anggota dari dua buah Balai Bomba dan Penyelamat iaitu Kuala Terengganu dan Marang dikerahkan ke tempat kejadian.

Katanya, bomba yang menggunakan dua jentera dan satu lori tangki mengambil masa selama satu jam untuk mengawal dan memadam kebakaran.

“Semasa pemadaman dibuat berlaku dua letupan yang disebabkan minyak terlalu panas dan ada saluran yang pecah,” katanya sambil memaklumkan tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.  

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel