Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

APMM pantau pulau elak pencerobohan nelayan asing musim tengkujuh


Tarikh kemaskini: 23/10/2019





KUALA BERANG, 23 Okt -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu akan meningkatkan pemantauan di pulau-pulau di negeri ini bagi mengelak pencerobohan oleh nelayan asing ketika musim tengkujuh.

Pengarahnya, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata pihaknya telah mengenal pasti dua pulau iaitu Pulau Redang dan Pulau Tenggol yang sering menjadi pilihan nelayan asing terutama warga Vietnam untuk mencari perlindungan daripada cuaca buruk dan ombak besar.

"Nelayan asing yang masuk menangkap ikan secara haram biasanya akan menjadikan pulau-pulau kita sebagai tempat persinggahan kerana keadaan laut yang sangat bergelora pada musim tengkujuh akan menjejaskan aktiviti mereka.

"Oleh itu kita akan tempatkan anggota di dua pulau tersebut untuk memantau dan menghalang pencerobohan nelayan asing yang bermaharajalela," katanya kepada media selepas program latihan menembak senjata api kecil bersama media di Lapang Sasar Pusat Latihan Jabatan  Sukarelawan Malaysia (Rela) di sini, hari ini.

Muhammad Suffi berkata nelayan asing yang didapati menceroboh kawasan pulau akan ditahan dan didakwa sebelum diusir keluar dari negara ini. 

Dalam perkembangan lain Muhammad Suffi berkata, pihaknya telah menahan 116 vesel termasuk bot dan kapal kargo atas pelbagai kesalahan melalui Operasi Naga Barat (Op Naga Barat) yang dilaksanakan sejak  April lepas.

Menurut beliau daripada jumlah itu, 90 rampasan terdiri daripada bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negeri manakala selebihnya melibatkan bot nelayan tempatan dan kapal kargo.

"Op Naga Barat yang diketuai oleh APMM dijalankan secara bersepadu dengan Polis Marin, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Jabatan Perikanan Terengganu.

"Dalam tempoh 185 hari selepas dilancarkan, kita telah berjaya menahan 116 vesel dan seramai 1,106 awak-awak telah dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai kesalahan," katanya.

Menurut beliau Op Naga Barat akan diteruskan pada musim tengkujuh bagi memerangi pencerobohan nelayan asing yang akan mengambil kesempatan di atas keadaan cuaca buruk.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel