Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lima kumpulan kerja teknikal ditubuh tangani kesesakan Tambak Johor - KDN


Tarikh kemaskini: 22/10/2019





PUTRAJAYA, 22 Okt -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) menubuhkan lima Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) untuk menggerakkan secara serentak semua 23 inisiatif jangka pendek, sederhana dan panjang bagi menangani kesesakan di Tambak Johor.

KDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan TWG tersebut adalah TWG1: Naik Taraf Kompleks Pintu Masuk dan Tambak Johor; TWG 2: Dasar Sumber Manusia; TWG 3: Naik Taraf ‘Automated Check Point & Border System’; TWG 4: Kajian Kebolehlaksanaan; dan TWG 5: Pengurusan Pelan Komunikasi.

Keanggotaan TWG itu, menurut KDN, terdiri daripada pegawai pelbagai kementerian dan agensi antaranya Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Luar, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan, Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), PLUS Malaysia Bhd dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor.

"Bagi membolehkan pelaksanaan, kerajaan juga telah meluluskan peruntukan RM85 juta pada tahun 2020 sebagaimana diumumkan semasa ucapan belanjawan oleh Menteri Kewangan pada 11 Okt 2019 di Dewan Rakyat," jelas kenyataan itu.

Menurut KDN, menterinya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Keputusan Bagi Menangani Kesesakan Tambak Johor telah diberi taklimat hari ini mengenai status terkini inisiatif-inisiatif tersebut.

Secara umumnya, jelas KDN, kesemua 23 inisiatif yang diluluskan dalam mesyuarat jawatankuasa itu pada 21 Ogos lepas, telah mula dilaksanakan di pelbagai peringkat. 

"Bagi inisiatif jangka masa pendek dan berbentuk perubahan dasar, keputusan dan kelulusan dasar telah pun diperoleh dan mula dilaksanakan,” maklumnya. 

Bagi inisiatif jangka sederhana dan panjang serta memerlukan peruntukan kewangan, langkah perancangan dan reka bentuk teknikal sedang dilaksanakan dan kerja pembangunan iaitu ubah suai dan naik taraf bangunan akan bermula pada 2020. 

Penambahbaikan dan tambahan peralatan untuk sistem kawalan pintu masuk, seperti Malaysian Automated Clearance System (MACS) dan M-BIKE pula, sebahagiannya telah bermula dan akan selesai pada tahun hadapan, jelasnya.

Menurut KDN, pada sesi taklimat itu, Muhyiddin menggesa semua TWG supaya melipatgandakan usaha untuk memastikan semua inisiatif dilaksanakan mengikut jadual.

Pihak yang diberi tanggungjawab dalam aspek operasi di pintu masuk khususnya Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), jelas KDN, digesa supaya sentiasa memantau kesesakan serta membuat keputusan segera bagi mengurangkan kesesakan seperti cuti perayaan Deepavali yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 Okt ini.

Menurut KDN, kaunter tambah nilai Touch N Go di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) telah pun ditutup manakala kiosk tambah nilai Touch N Go di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) pula akan ditutup bermula pada 29 Okt ini. 

"Tempoh ini diberikan bagi membolehkan hebahan kepada semua pengguna dibuat secara meluas dan mengelakkan kesesakan disebabkan oleh pengguna yang kekurangan baki nilai dalam kad Touch N Go," katanya.

Menurut KDN, jawatankuasa itu juga dimaklumkan mengenai pelan komunikasi berkesan yang akan dilaksanakan dari semasa ke semasa supaya hebahan mengenai inisiatif kerajaan menangani kesesakan dan informasi terkini trafik dapat dibuat secara teratur dan sampai kepada kumpulan sasar. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

MB Johor tegaskan Nur Dinie Damia negatif influenza A

 
     

Rangkaian kebab terbesar dunia kini di Ipoh

 
     

Peserta program bimbingan INSKEN raih jualan RM8.89 juta

 
     

Lapan nelayan hilang di perairan Tambisan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel