Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Najib atur penipuan SRC sejak dari mula - Peguam Negara


Tarikh kemaskini: 22/10/2019





KUALA LUMPUR, 22 Okt -- Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengatur penipuan SRC International Sdn Bhd sejak permulaan lagi, di mana dia telah mendapat manfaat selama lebih daripada tiga tahun, kata Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.

Beliau berkata tertuduh juga merupakan “pengarah di belakang tabir” SRC yang mendapat manfaat kewangan dari tabung SRC, di mana beliau diberi amanah kawalan sepenuhnya keatas harta benda SRC.

Thomas juga berkata Najib memiliki kepentingan terhadap SRC.

"Kepentingan yang dimiliki tertuduh disembunyikan di sebalik pelbagai tipu helah, di belakang nama orang yang tidak dapat dicari, dan watak-watak yang diragui," katanya dalam penghujahannya di penghujung kes pendakwaan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali hari ini.

Bagaimanapun Thomas berkata fakta-fakta tetap menunjukkan bahawa tertuduh dan proksinya mengawal di belakang tabir SRC.

“Mengapa kerajaan amat berminat dan melakukan segalanya bagi membantu SRC, sebuah syarikat yang baharu dibangunkan tanpa rekod lampau, baharu beroperasi 12 bulan, dan amat berminat untuk memberi kemudahan mendapatkan pinjaman RM2 bilion, dan diikuti dengan RM2 bilion yang kedua dalam tempoh masa lapan bulan antara keduanya, kepada SRC? 

Kesimpulan yang tidak dapat dinafikan lagi adalah ia harus menunjuk kepada kepentingan tertuduh dalam SRC,” katanya.

Thomas seterusnya berhujah bahawa kuasa “melantik” dan memecat” yang diberikan oleh Perlembagaan SRC kepada tertuduh mempunyai kesan yang menjadikan beliau sebagai pembuat keputusan yang muktamad di SRC.

“Tiada keputusan-keputusan yang penting yang boleh diputuskan oleh SRC tanpa arahan daripada tertuduh, memang tidak ada,” katanya.

Najib, 66, berdepan dengan tiga tuduhan pecah amanah (CBT), satu tuduhan salah guna kuasa dan tiga tuduhan penggubahan wang yang melibatkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan bersambung esok.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

MB Johor tegaskan Nur Dinie Damia negatif influenza A

 
     

Rangkaian kebab terbesar dunia kini di Ipoh

 
     

Peserta program bimbingan INSKEN raih jualan RM8.89 juta

 
     

Lapan nelayan hilang di perairan Tambisan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel