4WNUWmYmAOA Terengganu perlu lebih banyak tarikan pelancongan komuniti
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Terengganu perlu lebih banyak tarikan pelancongan komuniti


Tarikh kemaskini: 22/10/2019





MARANG, 22 Okt -- Komuniti setempat disaran mewujudkan pelbagai produk yang unik dan mempunyai keistimewaan tersendiri bagi melonjakkan industri pelancongan di Terengganu.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata rakyat negeri itu boleh menjadikan komuniti di sekitar Kampung Batu Putih, di sini sebagai contoh kerana mereka berjaya menonjolkan produk makanan tradisional, kraftangan dan hasil sungai, hingga menjadi tarikan pelancong.

"Dataran Batu Putih ini asalnya adalah kawasan kosong sahaja namun dengan inisiatif penduduk, mereka berjaya bangunkan ia menjadi satu lokasi pelancongan terbaharu di Terengganu. 

"Saya pasti tempat lain pun ada tarikan tersendiri dan komuniti  perlu memanfaatkan peluang itu untuk menjadikannya satu lokasi yang boleh menjana sumber ekonomi setempat. Bagi kerajaan negeri pula, kita akan bantu lonjakkan pembangunan di lokasi yang dilihat berpotensi dijadikan pelancongan komuniti dengan peruntukan sesuai," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Dataran Batu Putih dengan laluan air (menyusuri Sungai Marang) di sini hari ini. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman.

Antara tarikan utama di kampung itu ialah pembuatan nisan (gula asli dari air nira kelapa), dodol, lempeng kelapa, pembuatan kraftangan dari pokok kelapa dan buluh serta jualan hasil sungai serta makanan eksotik yang lain seperti lokan. 

Dalam lawatannya, Ahmad Samsuri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 untuk komuniti kampung tersebut membina lebih banyak infrastruktur untuk keselesaan pelancong.

Sementara itu, Pengerusi Dataran Batu Putih, Nor Azman Hasan berkata peruntukan RM100,000 itu akan digunakan untuk membina surau, gerai dan pasar terapung di kawasan itu secara berperingkat.

"Dataran Batu Putih turut mendapat perhatian dari Pejabat Daerah Marang dan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu yang akan menyalurkan peruntukan mengikut keperluan semasa.

"Buat masa sekarang kami memang tidak 'menang tangan' dengan kunjungan pelancong yang tidak putus-putus datang untuk melakukan pelbagai aktiviti rekreasi di sini bersama keluarga dan sahabat handai terutama pada hujung minggu," katanya. 

-- BERNAMA

 

 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel