lavNMTgrfj0 Murid tahun enam putus kaki, motosikal bertembung kereta
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Murid tahun enam putus kaki, motosikal bertembung kereta


Tarikh kemaskini: 22/10/2019





KUALA TERENGGANU, 22 Okt -- Seorang murid tahun enam putus kaki kanan apabila motosikal yang diboncengnya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Kuala Terengganu menghala Bukit Besi di Kampung Tok Dor di sini, semalam.

Ketua Polis Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 malam ketika murid itu, Muhammad Zulhaikal Mohammad, 12, dari Sekolah Kebangsaan Peroh membonceng motosikal ditunggang bapa saudaranya, Samri Said, 52.

Turut membonceng motosikal itu ialah anak Samri yang merupakan sepupu Muhammad Zulhaikal, Nur Farahiya Najwa Samri, 10.

“Siasatan awal mendapati sebuah kereta yang datang dari arah Bukit Besi menghala ke Ajil telah memotong sebuah lagi kereta lain sebelum bertembung dengan motosikal yang dinaiki ketiga-tiga mangsa. Ketiga-tiga mereka cedera parah dan dihantar ke Hospital Hulu Terengganu,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mohd Adli berkata kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Bagaimanapun, kejadian itu berserta video dan gambar kemudian tular di laman sosial dengan dakwaan kononnya anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang berada kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian, sedang menjalankan operasi menahan lori, menjadi penyebab kemalangan itu.

Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin menafikan dakwaan bahawa anggotanya menjadi penyebab berlakunya kemalangan itu.

Katanya beliau kesal dengan tindakan provokasi orang awam dan sikap tidak bertanggungjawab warganet yang menyebarkan berita tersebut di laman sosial tanpa usul periksa sehingga menjejaskan reputasi dan keselamatan anggotanya. 

"Saya ingin tegaskan bahawa kemalangan itu tiada kena mengena dengan JPJ, cuma semasa kejadian tiga anggota saya berada berhampiran dengan lokasi. Yang amat saya kesali ialah tindakan melulu dan provokasi orang awam di lokasi kejadian sehingga mengancam keselamatan anggota saya dan merosakkan kenderaan jabatan," katanya dalam satu kenyataan melalui aplikasi WhatsApp hari ini.

Bagaimanapun, Zulkarnain berkata semua anggotanya bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata satu laporan polis telah dibuat malam tadi berhubung perbuatan khianat dan ancaman beberapa orang awam terhadap anggota JPJ selain pihaknya juga sedang mengumpul maklumat bagi membuat satu lagi laporan polis berkaitan fitnah yang ditularkan sehingga menjejaskan imej dan reputasi anggota serta jabatan.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel