Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Peniaga diingatkan tidak ambil kesempatan pada musim tengkujuh


Tarikh kemaskini: 21/10/2019




KUALA NERUS, 21 Okt -- Golongan peniaga diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan dengan menyorok atau menaikkan harga barangan ketika musim tengkujuh.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nur Khuzaini Ab Rahman berkata walaupun pihaknya belum menerima sebarang aduan berhubung perkara terbabit, pemantauan sentiasa dijalankan bagi mengesan peniaga yang tidak bertanggungjawab.

"Kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan pihak Kementerian  Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu menjalankan pemantauan untuk mengelak manipulasi harga terutama stok barangan basah seperti ikan, makanan laut dan sayuran.

"Setakat ini semua jenis bekalan makanan untuk musim tengkujuh mencukupi kerana kita telah membuat persiapan awal memandangkan tiap-tiap tahun pun Terengganu akan berdepan dengan musim tengkujuh," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2019 di Pasa Raya Besar Mydin Gong Badak, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.

Menurut Saharuddin terdapat 110 anggota penguatkuasa KPDNHEP dan 60 orang pemantau harga di seluruh negeri yang berperanan memeriksa harga jualan barangan di lokasi terpilih dan melaporkan terus kepada pihaknya untuk diambil tindakan jika didapati berlaku kesalahan.

Dalam perkembangan lain Mohd Nur Khuzaini berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan golongan penjaja jalanan pada akhir bulan ini bagi mengingatkan mereka tentang penguatkuasaan larangan jualan di persimpangan lampu isyarat yang bakal dilaksanakan bulan depan.

"Kita telah beri tempoh selama dua bulan sebelum ini untuk mereka habiskan dahulu stok barangan sebelum larangan dikuatkuasakan secara rasmi. Selepas 31 Oktober ini tiada lagi alasan untuk golongan penjaja menjalankan aktiviti tersebut dan kita harap mereka akan patuh pada arahan," katanya.

Kata beliau, mana-mana peniaga yang ingkar dan tidak mematuhi arahan selepas ini akan dikenakan tindakan seperti kompaun, dirampas barangan atau ditangkap. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel