Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

K'jaan akan laksana pembangunan infrastruktur dirancang di Kelantan - Baru Bian


Tarikh kemaskini: 20/10/2019





KOTA BHARU, 20 Okt -- Kementerian Kerja Raya memberi jaminan akan melaksanakan pembangunan infrastruktur yang telah dirancang di Kelantan sekali gus menolak dakwaan negeri ini dipinggirkan.

Menterinya Baru Bian berkata tidak timbul isu kementerian itu meminggirkan rakyat Kelantan kerana nasib mereka tetap terbela melalui peruntukan besar yang disalurkan kepada negeri itu.

"Apa yang telah dirancang melalui kementerian akan tetap kita laksanakan terutama membabitkan soal pembangunan infrastruktur demi keselesaan rakyat negeri ini.

"Ini hasrat kerajaan baharu (Pakatan Harapan) demi untuk pembangunan semua," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pembukaan Projek Membina Lebuh Raya dari Kota Bharu ke Kuala Krai, Kelantan bagi Pakej 2A: Kadok ke Ketereh di sini, hari ini.

Baru berkata bagi tahun ini, di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas, sejumlah RM369 juta daripada keseluruhan peruntukan sebanyak RM5.715 bilion telah diperuntukkan oleh kerajaan Persekutuan untuk Kelantan bagi projek infrastruktur di bawah Kementerian Kerja Raya.

Katanya ia membabitkan pembinaan jalan baharu, naik taraf jalan, pembinaan jambatan serta membaik pulih kawasan cerun.

Beliau berkata selain itu, bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna, kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM44.4 juta pada tahun ini bagi menyelenggara 1,366 kilometer jalan Persekutuan sedia ada.

"Ia melibatkan RM15.8 juta bagi penyelenggaraan rutin dan RM28.6 juta bagi penyelenggaraan berkala," katanya.

Mengulas projek lebuh raya sepanjang 61.4 kilometer, Baru berkata projek itu akan disiapkan mengikut jadual.

Menurutnya projek itu dibahagikan kepada tiga pakej utama bermula Rancangan Malaysia Kesepuluh dengan keutamaan pelaksanaan bagi pakej 1B, 2A, 2B, 2C dan 3A dari Pasir Hor ke Bukit Tiu, Machang dengan kos sebanyak RM1.45 bilion.

"Jajaran pakej 1B dari Pasir Hor ke Kadok sepanjang 7 kilometer telah siap dibuka pada Ogos 2018 manakala pakej 2A dari Kadok ke Ketereh sepanjang 6.58 kilometer telah pun dirasmikan pembukaan hari ini," katanya.

Beliau berkata jajaran yang sedang dalam pembinaan pula ialah pakej 2B dari Ketereh ke Kok Lanas sepanjang 6.2 kilometer yang akan siap pada Nov tahun depan.

Mengulas sama ada lebuh raya itu akan disambungkan sehingga ke Gua Musang, Baru berkata perkara itu juga dalam perancangan bagi memendekkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dan Kota Bharu. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel