Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

1,500 anggota bomba siap sedia hadapi kemungkinan banjir di Kelantan


Tarikh kemaskini: 19/10/2019





MACHANG, 19 Okt -- Sejumlah 1,500 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat  (JBPM) Kelantan bersiap sedia menjalankan kerja-kerja  menyelamat  sebagai  persediaan menghadapi kemungkinan berlaku banjir pada musim monsun Timur Laut yang dijangka bermula dari bulan depan sehingga  Mac  2020.

Pengarahnya, Md Salleh Sarbini berkata, disamping itu sebanyak 50 buah bot  termasuk dua jenis amfibia yang boleh beroperasi di air dan di darat bagi kawasan yang sukar bagi gerakan menyelamat disediakan  untuk mengangkut mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara.

“Banjir besar yang berlaku pada 2014 di Kelantan akan dijadikan panduan  dalam  sebarang  gerakan menyelamat,” katanya pada sidang media selepas  berucap pada majlis  perasmian  “Abang Bomba Masuk  Universiti” di Universiti  Teknologi  Mara (UiTM) di sini, hari ini.

Rektor  UiTM Cawangan Kelantan, Prof Madya Dr  Zulkifli Mohamed merasmikan majlis  berkenaan yang dihadiri 2,000  pelajar UiTM yang  turut menyaksikan demonstrasi  mencegah dan memadam kebakaran.

Md Salleh berkata,  sebelum ini anggota  terbabit telah diberi latihan  tahap kecekapan menyelamat di kawasan-kawasan berisiko tinggi termasuk di Jeli dan sepanjang Sungai Kelantan bermula dari Kuala Krai sehingga  ke Tanah Merah.

Katanya, selain itu jajahan-jajahan  Machang, Pasir Puteh dan Bachok  yang sering menghadapi banjir  kilat juga diberi  perhatian dengan mengarahkan anggota di kawasan terbabit sentiasa membuat rondaan.

Md Salleh berkata, pihak jabatannya membekukan cuti kakitangan pada musim  berkenaan  bagi mempastikan persediaan  menyelamat  tidak  terbantut  dan berada pada tahap terbaik apabila diperlukan pada  bila-bila masa .

“Ini perlu kerana kami dapat maklumat  dari agensi kerajaan yang berkaitan bahawa  Kelantan akan menghadapi empat hingga enam episod  hujan lebat yang  boleh  mengakibatkan banjir, tanah runtuh dan pokok tumbang,” katanya.

Sementara itu, Zulkifli  berkata, pihak UiTM telah menubuhkan  sebuah Jawatankuasa Bencana  sebagai persediaan menghadapi musim  tengkujuh.

Beliau berkata,  pihaknya  telah memberi panduan terutamanya kepada pelajar yang menyewa  rumah di luar  kampus tentang bagaimana untuk  menyelamatkan diri  apabila  berlaku banjir di sekitar kawasan kediaman.

Katanya, UiTM yang mempunyai kawasan tinggi dan selamat  bersedia membenarkan pihak berkuasa pengurusan banjir  peringkat negeri  menjadikan UiTM sebagai kawasan pendaratan helikopter bagi kerja-kerja menyelamat  dan penghantaran bekalan makanan.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel