Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

UniSZA hasilkan skrol berasaskan teknologi blockchain


Tarikh kemaskini: 18/10/2019





KUALA NERUS, 18 Okt (Bernama) -- Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjadi universiti pertama mengeluarkan skrol berasaskan teknologi blockchain sepenuhnya bagi mengesahkan ketulenan skrol graduan dan mengekang isu sijil palsu. 

Pengarah Pusat Pengurusan Infrastruktur dan Rangkaian UniSZA, Dr. Mohd Khalid Awang berkata, melalui teknologi tersebut, ketulenan semua 3,474 skrol yang dikeluarkan pada majlis konvokesyen ke-11 universiti itu baru-baru boleh disahkan melalui aplikasi myBLOCKCERTS.

“Melalui aplikasi ini sebanyak 3,474 data skrol telah disulitkan dan disimpan di dalam blockchain peribadi UniSZA yang dihubungkan kepada pelbagai nod dan lokasi bagi memastikan ia tidak dapat digodam atau dipalsukan.

“Semua data yang disulitkan akan terjamin dari segi kesediaan data, ketelusan dan integriti. Proses pengesahan pula boleh dilakukan secara terus tanpa perlunya pihak ketiga melalui teknologi lejar teragih dan ketulenan skrol boleh disahkan oleh sesiapa sahaja tanpa batasan masa dan geografi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Oleh itu, katanya, pengguna, majikan atau sesiapa sahaja boleh mengimbas kod QR pada skrol graduan menggunakan kamera telefon pintar dengan memuat turun applikasi myBLOCKCERTS versi iOS atau Android.

Katanya, hasil imbasan kod QR tersebut akan memaparkan maklumat graduan seperti nama penuh, program pengajian, tarikh graduasi dan kelas ijazah.

Beliau menambah, penggunaan teknologi tersebut bukan sahaja dapat menghapuskan isu sijil palsu dalam kalangan masyarakat malah mampu mengeratkan hubungan antara universiti, alumni dan pihak industri.

-- BERNAMA       


 

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel