Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tuduhan rasuah melibatkan kontrak selenggara jalan raya tidak berasas


Tarikh kemaskini: 16/10/2019





IPOH, 16 Okt -- Tuduhan seorang ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Lumut berhubung dakwaan rasuah melibatkan kontrak penyelenggaraan jalan raya di bawah bajet Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (MARRIS) di Perak disifatkan tidak berasas.

Ketua Bahagian Bersatu Lumut Komander (Bersara) Nordin Ahmad Ismail berkata pertikaian oleh Syed Razif Syed Rabii itu bahawa syarikat konsesi yang dilantik dilaporkan atas kesalahan rasuah merupakan dakwaan yang boleh dilakukan mana-mana pihak.

"Oleh itu, saya ingin mencabar Syed Razif untuk mengemukakan fakta dan bukti yang proses lantikan itu telah mengakibatkan peningkatan kos penyelenggaraan Bajet MARRIS seperti yang didakwa.

"Jika gagal berbuat demikian, ini bermakna dakwaannya mengenai penyelewengan dalam Bajet MARRIS negeri Perak adalah suatu agenda peribadi untuk merosakkan imej kerajaan negeri dan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu semata-mata," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Justeru, beliau berkata Syed Razif perlu menarik balik dakwaannya atau bersedia untuk berhadapan dengan tindakan undang-undang oleh pihak-pihak yang dikatakan difitnah.

Petang tadi, Syed Razif mengadakan sidang media di sini mengenai dakwaan itu dan memaklumkan telah melaporkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 17 Sept lepas untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu Negeri Perak Mohader Ahmad Mohd Ayob merangkap Ketua Bahagian Batu Gajah berkata pihak kepimpinan bahagian-bahagian Bersatu di Perak menyokong usaha kerajaan negeri untuk melakukan perubahan bagi meningkatkan kualiti sistem penyelenggaraan jalan raya di negeri itu.   

"Kerajaan Pakatan Harapan telah membuat keputusan tepat untuk melantik syarikat konsesi yang berkemampuan untuk menguruskan peruntukan MARRIS secara lebih cekap dan menjimatkan di samping meningkatkan kualiti penyelenggaran jalan menggunakan teknologi terkini," katanya.

Beliau berkata langkah menambahbaik sistem penyelenggaraan Bajet MARRIS oleh kerajaan Pakatan Harapan Perak itu sudah tentu mendapat tentangan daripada segelintir kontraktor yang sebelum ini mengaut keuntungan besar hasil daripada menjadi ahli atau mempunyai hubungan baik dengan kerajaan terdahulu.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel