Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

UUM laksana pelbagai pelan tingkat kebolehpasaran siswazah


Tarikh kemaskini: 16/10/2019




ALOR SETAR, 16 Okt -- Universiti Utara Malaysia (UUM) yakin dapat meningkatkan peratus  kebolehpasaran siswazahnya menerusi pelaksanaan beberapa pelan jangka pendek dan panjang yang dirangka, kata Naib Canselornya Prof Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani.

Katanya, tahun lalu 70 peratus daripada siswazah UUM sudah bekerja dan peratusan itu adalah antara yang tertinggi dalam kalangan universiti awam di negara ini.

“Sebanyak 60 peratus graduan (yang sudah bekerja) memilih untuk bekerja dalam sektor swasta, 32 peratus di sektor awam manakala lapan peratus lagi memilih untuk bekerja sendiri. Sementara itu, kebolehpasaran graduan UUM dari golongan B40 adalah sebanyak 73.6 peratus,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik bahawa hampir 60 peratus siswazah peringkat pengajian ijazah pertama dan ke atas masih menganggur selepas setahun menamatkan pengajian mereka.

Ahmad Bashawir berkata dalam meningkatkan kebolehpasaran siswazah UUM, antara inisiatif yang diambil termasuk mewujudkan Jawatankuasa Kerja Khas Kebolehpasaran Graduan dan Jawatankuasa Pemandu yang melibatkan semua pusat pengajian serta menjalinkan kerjasama strategik bersama pihak industri.

“Kita turut memperkasakan Pusat Pembangunan Kerjaya (CDC) yang menyediakan sumber dan perkhidmatan untuk membantu pelajar dan graduan yang mempunyai perancangan kerjaya dan perkhidmatan carian kerja. CDC ini turut melibatkan lantikan jurulatih kerjaya atau kaunselor kerjaya, program pemprofilan, e-portfolio dan pameran kerjaya.

“CDC ini menggalakkan lagi pelajar untuk mengambil peranan yang proaktif dalam membangunkan laluan kerjaya mereka melalui penglibatan dalam program dan perkhidmatan yang ditawarkan. Program-program ini dapat membina perwatakan dan sahsiah pelajar serta mengasah kemahiran bagi meningkatkan tahap kebolehpasaran dan kebolehdapatan pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata UUM turut mempergiatkan lagi penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar serta mewujudkan program ‘On Campus Jobs’ yang bermula April lepas yang mana pelajar dibenarkan untuk membuat kerja sambilan di universiti dengan kadar maksimum 15 jam seminggu.

“Diharapkan dengan adanya program-program jangka pendek dan panjang ini, ia dapat membantu meningkatkan peratusan kebolehpasaran graduan UUM bagi mengelak siswazah menganggur selepas tamat pengajian,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel