Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan Pulau Pinang pertimbang naikkan kadar parkir kawasan elit


Tarikh kemaskini: 16/10/2019





GEORGE TOWN, 16 Okt -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang menimbang kemungkinan menaikkan kadar parkir di kawasan-kawasan elit atau di lokasi tanah bernilai tinggi. 

Ketua Menteri Chow Kon Yeow hari ini berkata pertimbangan itu dibuat sebagai salah satu kaedah yang diperlukan untuk menambah baik aliran trafik di bandaraya Georgetown, sebagaimana yang disarankan oleh Bank Pembangunan Asia (ADB). 

Beliau berkata menurut perunding ADB, kadar letak kereta yang tinggi akan mengurangkan tempoh waktu pengguna memandu, kerana mereka akan terus sahaja mencari tempat letak kereta di kompleks-kompleks letak kereta berbayar, dan tidak lagi tercari-cari tempat letak kereta tepi jalan raya yang murah.

“Lebih penting lagi tempat letak kereta yang tinggi akan mengurangkan orang ramai memandu di George Town, dan pada masa yang sama meningkatkan minat orang ramai untuk memilih perkhidmatan bas-bas Central Area Transit (CAT) yang sedia ada,” katanya dalam majlis sesi dialog 'Tilting the Balance from Private to Public Transportation' di sini. 

Menurutnya, kerajaan negeri membelanjakan RM17 juta setiap tahun untuk peruntukan perkhidmatan bas percuma dan bas subsidi namun usaha itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat. 

Chow berkata kerajaan negeri kini turut mengkaji cadangan untuk menamatkan 12 laluan bas percuma kerana menerima kadar penumpang yang amat rendah dan mengalihkan perkhidmatan itu di kawasan-kawasan yang lebih memerlukan. 

Katanya 10,000 kenderaan persendirian baharu telah  didaftarkan di Pulau Pinang setiap tiga atau empat bulan dan keadaan ini menyebabkan kesesakan lalu lintas dan pencemaran udara yang semakin teruk di sini. 

"Menerusi inisiatif Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) kerajaan negeri meletakkan sasaran kewujudan 40 peratus pengangkutan awam, dan 60 peratus bagi kenderaan swasta.

-- BERNAMA

 

 

 

   

 
 
     
   
 

Wakil jabatan audit mengaku rakam mesyuarat "pinda laporan audit 1MDB"

 
     

Pasukan audit 1MDB terkejut dengar gugur penyata kewangan - Saksi

 
     

Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji buat penjawat awam negeri

 
     

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel