Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf


Tarikh kemaskini: 16/10/2019





SEREMBAN, 16 Okt -- Majlis Belia Malaysia (MBM) hari ini mencadangkan pihak pentadbiran Universiti Malaya (UM) menahan ijazah seorang graduannya yang melakukan protes di atas pentas sewaktu Istiadat Konvokesyen UM Ke-59, Isnin lepas.

Ketua Penerangannya, Wan Mohd Husni Abdullah berkata ijazah Wong Yan Ke perlu ditahan sehingga dia membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Naib Canselor UM, Datuk Ir Dr Abdul Rahim Hashim.

Beliau berkata tindakan pelajar itu menunjukkan kerendahan moral dan nilainya sebagai seorang yang terpelajar dan menjejaskan nama baik universiti pada masyarakat umum, kerana 'kebebasan bersuara' tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya tanpa batasan, sebaliknya perlu mengikut saluran yang betul.

"Semua warganegara perlul mendokong dan mengamalkan prinsip Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan bagi menjamin keharmonian negara. Oleh itu, MBM mendesak agar pentadbiran UM memandang serius perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya termasuklah menahan Ijazah Sarjana Muda pelajar berkenaan sehingga permohonan maaf kepada Abdul Rahim dibuat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Wan Mohd Husni berkata MBM mengutuk tindakan graduan itu dengan menyifatkan ia mencemarkan suatu istiadat dan protokol yang seharusnya dihormati oleh semua pihak.

Dalam kejadian itu, graduan berkenaan mengangkat plakad bertulis 'Tolak Rasis' dan 'Undur VC' di hadapan tetamu dan pentadbir tertinggi UM, sebaik menerima ijazahnya, dikatakan kerana membantah ucapan Abdul Rahim ketika Kongres Maruah Melayu, 6 Okt lepas.

Dalam perkembangan lain, Wan Mohd Husni berkata MBM kesal dan membantah sekeras-kerasnya penganjuran Debat Bahasa Inggeris Piala Tun Razak yang berlangsung di Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR) peringkat pra-suku akhir, baru-baru ini.

"MBM menggesa pihak bertanggungjawab sama ada Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Pendidikan melakukan siasatan menyeluruh seterusnya mengambil tindakan sewajarnya terhadap penganjur walaupun permohonan maaf telah dibuat.

"Kegagalan penganjur memastikan panel juri memenuhi Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan merupakan satu kesalahan berat kerana ia menyentuh sensitiviti agama apatah lagi tajuk yang diberikan boleh menjejaskan akidah pendebat di pihak penyokong mahu pun penentang.

Katanya MBM mahu pihak berkuasa lebih tegas tanpa kompromi dalam mengambil tindakan berhubung penganjuran program-program seumpama itu supaya keharmonian dan perpaduan tidak diganggu gugat.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Usaha promosi produk tempatan melalui e-dagang langkah tepat - Saifuddin

 
     

Pesakit kanser tahap empat tangguh rawatan akibat kekangan kewangan

 
     

Sukarelawan sepenuh masa APM bakal terima perlindungan Perkeso

 
     

Aduan kebersihan tandas KLIA berkurang 80 peratus

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel