Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Dua pelumba akademi TSG sertai Jelajah New Caledonia


Tarikh kemaskini: 16/10/2019




KUALA TERENGGANU, 16 Okt -- Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) terus mengorak langkah ke hadapan apabila dua pelumba akademinya bakal menyertai Jelajah New Caledonia (Tour de la Nouvelle-Caledonie 2019) bermula esok hingga 26 Okt ini.

Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus berkata Wan Muhammad Hamizan Ifwat Wan Badrulfadli Sham dan Wan Abdul Rahman Hamdan bakal mendapat pendedahan yang paling berharga apabila membuat kemunculan di jelajah 10 peringkat dengan jarak keseluruhan 824km itu. 

Kedua-dua pelumba berusia 20 tahun itu merupakan pelumba pelapis dari akademi TSG yang ditubuhkan pada awal tahun ini, untuk terus melahirkan bakat-bakat baharu dari negeri ini untuk bertanding di peringkat antarabangsa.

“Kami telah menghantar sebanyak empat pelumba ke kem latihan di Paris, Perancis selama tiga bulan sebelum ini. Mereka telah menunjukkan prestasi yang baik, apabila Wan Abdul Rahman telah meraih podium sebanyak dua kali bagi kategori bawah 23 tahun di sana.

“Jadi kami membuat keputusan untuk menghantar mereka ke Jelajah New Caledonia. Kami harap mereka pulang dengan sekurang-kurangnya kedudukan podium di salah satu peringkat,” katanya kepada Bernama.

Nasiruddin berkata kem latihan di Paris itu adalah untuk pelumba all-rounder manakala bagi latihan pecut, seramai lima pelumba akan dihantar ke kem latihan di Melbourne, Australia pada awal tahun depan.

Beliau berkata pelumba yang menunjukkan prestasi yang baik akan diberi peluang untuk mewakili pasukan elit TSG, yang kini mendahului ranking Jelajah Asia bagi musim ini.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel