Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kelantan titik berat masalah ketagihan alkohol belia Orang Asli


Tarikh kemaskini: 16/10/2019





KOTA BHARU, 16 Okt  -- Kerajaan Kelantan menitik berat masalah berkaitan Orang Asli di negeri ini termasuk isu ketagihan alkohol dalam kalangan belia masyarakat itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata masalah tersebut bukan perkara baharu malah sudah berlarutan sejak sekian lama dan telah menjadi budaya masyarakat Orang Asli.

"Kerajaan Kelantan amat sedar dan faham bahawa Orang Asli adalah aset dan satu entiti rakyat negeri ini, oleh itu segala masalah mereka amat kita titik beratkan selari dengan cogan kata Membangun Bersama Islam.

"Kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) mengunakan khidmat mualim bagi memberi penerangan tentang bahaya dan mudarat ketagihan alkohol daripada segi agama, masyarakat dan undang-undang," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Syahbuddin Hashim (BN-Galas) yang mahu tahu adakah kerajaan negeri sedar gejala ketagihan alkohol merupakan suatu permasalahan baharu bagi belia Orang Asli di Gua Musang.

Mohd Nassuruddin berkata antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk menyediakan pendakwah pelapis dalam kalangan belia Orang Asli dengan kerjasama Yayasan Sultan Kelantan.

"Kita telah menghantar belia Orang Asli ke sekolah tahfiz Qiblah di Selangor dan Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP) bagi menyediakan mereka sebagai rujukan dan pendakwah kepada masyarakat itu pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata mualim atau guru agama turut ditempatkan di pos Orang Asli bagi mengadakan kelas fardu ain, bimbingan mengurus kematian, perkahwinan dan perkara yang berkaitan urusan harian selain memantau kepatuhan terhadap ajaran agama Islam dan mengimarahkan surau.

Katanya usaha sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa dengan menyediakan pelbagai bentuk program yang bersesuaian dengan kehendak dan keperluan masyarakat yang pelbagai bagi memastikan dakwah sampai kepada sasarannya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel