Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kelantan terima wang ehsan berjumlah RM28 juta tahun ini


Tarikh kemaskini: 15/10/2019




KOTA BHARU, 15 Okt -- Kerajaan Kelantan telah tiga kali menerima wang ehsan pemberian kerajaan Persekutuan berjumlah RM28 juta pada tahun ini, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata ia merupakan kali pertama wang ehsan itu disalurkan terus kepada kerajaan negeri sejak  diperkenalkan pada 2010. 

Pemberian wang ehsan sebelum ini, katanya, disalurkan terus kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan.

"Pada tahun ini dah tiga kali kita terima pemberian wang ehsan oleh kerajaan Persekutuan membabitkan jumlah sebanyak RM28 juta," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini yang dilaporkan tidak mahu berbalah dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob mengenai istilah yang digunakan dalam isu pembayaran royalti minyak oleh kerajaan Persekutuan, Mohd Amar berkata kerajaan Persekutuan menggunakan istilah wang ehsan dalam surat-menyurat antara kedua-dua kerajaan sebelum ini.

"Istilah wang ehsan ini dia (kerajaan Persekutuan) yang guna termasuk dalam surat-menyurat dan diguna pakai sejak zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) lagi.

"Dalam surat Kementerian Kewangan juga sebut wang ehsan jadi bagaimana kita nak tukar (pemberian wang ehsan) kepada (pembayaran) royalti sebab ini hak rakyat Kelantan," katanya.

Ditanya bila perbincangan kali terakhir dilakukan antara kerajaan Kelantan dengan kerajaan Persekutuan berhubung pembayaran royalti itu, Mohd Amar berkata ia berlaku pada awal tahun ini ketika kerajaan Persekutuan meminta kerajaan negeri menarik balik saman yang dikemukakan sebelum ini.

"Selepas itu tiada lagi perbincangan (berkaitan pembayaran royalti). Kerajaan Persekutuan sepatutnya memenuhi janji mereka selepas ia turut diputuskan dalam Majlis Kewangan Negara. Apa-apa keputusan (bersangkutan pembayaran royalti) sebelum ini terbatal selepas ia diputuskan oleh Majlis Kewangan Negara,” katanya.

Semalam, Lim dilaporkan berkata bayaran royalti minyak telah dibuat pada bulan lepas atas arahan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, Ahmad hari ini dilaporkan berkata Kelantan hanya menerima wang ehsan pada 17 Sept lepas daripada kerajaan Persekutuan dan bukannya bayaran royalti.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel