Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

SPR terpaksa guna pakai persempadanan semula tahun lepas


Tarikh kemaskini: 15/10/2019





GEORGE TOWN, 15 Okt  -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terpaksa mengguna pakai persempadanan semula kawasan pilihan raya yang diluluskan Dewan Rakyat sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lepas.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata perkara itu harus diguna pakai walaupun jangkaan pengundi di negara akan semakin bertambah dengan kelayakan mengundi bermula dari 18 tahun.

"Mengikut kerangka perlembagaan kita yang sekarang ini, kita terpaksa memakai persempadanan semula itu untuk lapan tahun ke hadapan.

"Jadi kita tersekat dengannya selama lapan tahun… nak tak nak, kita kena pakai walaupun dengan peningkatan jumlah pengundi berdaftar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Demokrasi di Universiti Sains Malaysia hari ini.

Bagaimanapun, Azhar Azizan berkata satu pengecualian dalam Perlembagaan Persekutuan di mana terdapat pertukaran jumlah kerusi Parlimen, persempadanan semula boleh dilakukan.

"Katakan jumlah kerusi Parlimen itu ditukar dengan sokongan 2/3 majoriti daripada 222 kerusi (sekarang) barulah kita akan buat persempadanan semula walaupun tempoh lapan tahun itu belum habis," katanya.

Tambahnya, perkara itu juga diguna pakai di setiap negeri melalui Dewan Undangan Negeri yang menukar jumlah kerusi.

Azhar Azizan berkata, SPR menjangka jumlah pengundi akan meningkat lebih 50 peratus menjadikan jumlah pengundi sekitar 22.7 juta, berbanding 14.9 juta pada PRU14 tahun lepas.

"Kami mendapati sejumlah empat juta penduduk negara yang berumur 21 tahun ke atas masih berdaftar sebagai pengundi dan penambahan pengundi berumur 18 tahun, jumlah pengundi akan mencapai 22.7 juta pada PRU15 nanti," katanya.

Sementara itu, beliau berkata proses pelaksanaan sepenuhnya Undi18 tahun masih belum dikuatkuasa lagi walaupun ia telah diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Menurutnya, Undi18 itu juga melibatkan tiga komponen utama iaitu umur layak mengundi diturunkan dari 21 tahun ke 18 tahun, umur layak menjadi calon diturunkan dari 21 tahun ke 18 tahun dan pendaftaran warga negara yang layak sebagai pemilih secara automatik.

"Terdapat beberapa perkara perlu diperhalusi sebelum perkara itu dikuatkuasa mungkin dalam tempoh antara 18 hingga 24 bulan dari sekarang," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel