Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan akan siapkan velodrom Azizulhasni di Dungun - Steven


Tarikh kemaskini: 15/10/2019





DUNGUN, 15 Okt -- Pembinaan velodrom Azizulhasni Awang di Balai Besar di sini yang tertangguh sejak sembilan tahun lalu, akan disiapkan dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong berkata pihaknya menyedari projek itu sudah lama dinantikan rakyat Terengganu dan optimis ia akan disiapkan menjelang September 2021.

"Memang projek velodrom ini telah diumumkan lama dah, dua menteri (terdahulu) dah umum, ini menteri ketiga (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman)...jadi saya rasa dalam pentadbiran menteri ketiga ni kita akan laksanakanlah.

"Sebenarnya dah masuk tender, kita laksanakan melalui tender terbuka dan prosesnya telah bermula. Saya harap menjelang Disember ini sudah dapat mulakan kerja-kerja pembinaan dan ia dijangka siap dalam masa dua tahun lagi," katanya selepas merasmikan Sambutan Bulan Sukan Negara peringkat negeri Terengganu di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Terengganu di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Status velodrom itu menjadi tanda tanya kalangan rakyat Terengganu kerana pembinaannya telah diumumkan sejak tahun 2010, namun masih tertangguh sehingga kini.

Mengulas lanjut, Steven berkata kos pembinaan velodrom tersebut ialah sebanyak RM14 juta dan berharap ia dapat melahirkan lebih ramai jaguh sukan berbasikal dari Terengganu.

"Terengganu memang negeri yang terkenal dengan kehebatan sukan berbasikal seperti pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) dan atlet bertaraf dunia seperti Mohd Azizulhasni Awang. Semoga lebih ramai bakat jaguh sukan berbasikal dapat dicungkil dengan adanya velodrom ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata KBS juga sedang dalam perancangan untuk membina pusat kecemerlangan sukan air di Pulau Duyong dekat Kuala Terengganu dengan kos RM10 juta, yang memberi fokus terhadap sukan air seperti perahu layar dan kenu.

"Cuma, sebelum ini ada sedikit halangan dari segi laluan masuk ke lokasi pusat itu. Namun bila kita maklumkan kepada Menteri Besar (Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) dalam satu pertemuan malam tadi, kerajaan negeri sudi menyelesaikan perkara itu.

"Kita berterima kasih kepada kerajaan negeri yang sudi bekerjasama dalam perkara tersebut dan selepas ini berharap pusat kecemerlangan itu akan berjaya membangunkan sukan air di Terengganu," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel