Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Hanya 734 pemandu carum SKSPS


Tarikh kemaskini: 14/10/2019




KUANTAN, 14 Okt -- Seramai 734 daripada 1,333 pemandu teksi, kereta sewa, e-hailing dan bas persendirian di Pahang telah mencarum bagi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Pahang, Tarmizi Mukhtar, berkata, pemandu yang masih tidak mencarum dinasihatkan segera berbuat demikian, bagi kebaikan mereka dan keluarga. 

"Pekerjaan mereka adalah antara yang berisiko dan jika berlaku perkara tidak diingini, sekurang-kurangnya ada faedah yang boleh diperoleh untuk membantu mereka meneruskan kehidupan," katanya. 

Tarmizi berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bayaran Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000 dan Faedah Orang Tanggungan kepada balu kakitangan Pos Malaysia, Mohd Faizal Muhamad @ Ibrahim yang maut akibat kemalangan, Jumaat lalu.

Majlis yang berlangsung di kediaman keluarga Mohd Faizal di Felda Bukit Kuantan di sini hari ini, juga dihadiri Pengurus Pos Malaysia Pahang,  Mahamad Zulkiply Mohamed Noor. 

Mohd Faizal, 37, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke tempat kerja di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini, apabila motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta berhampiran Felda tersebut. 

Tarmizi juga mengingatkan bahawa kewajipan untuk mencarum SKSPS telah diwajibkan dan kegagalan berbuat demikian membolehkan mereka didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengulas mengenai pemberian bantuan hari ini, Tarmizi berkata, balu Mohd Faizal layak menerima Faedah Orang Tanggungan yang berjumlah hampir RM2,000 yang dikira berdasarkan gaji terakhir suaminya, setiap bulan.  

Sementara itu, balu Mohd Faizal, Nooraime Abd Ghani, 37, yang merupakan soerang guru, berkata sumbangan itu sedikit sebanyak meringankan beban beliau yang kini menggalas tanggungjawab lebih besar dalam membesarkan tiga anak berusia antara sembilan bulan dan 10 tahun. 

"Saya tidak pernah menyangka akan menerima sumbangan ini walaupun tahu suami ada mempunyai caruman PERKESO. Ini adalah rezeki untuk terus membesarkan amanah yang ditinggalkan arwah. 

"Bersyukur sangat dengan sumbangan ini dan terima kasih kepada semua termasuk PERKESO dan majikan suami yang membantu mempercepatkan proses pembayaran ini," 

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel