Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Nama baharu universiti akan diputus selepas perkenan Sultan Mizan


Tarikh kemaskini: 13/10/2019





KUALA TERENGGANU, 13 Okt -- Nama baharu universiti hasil penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hanya akan ditentukan selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Penyelidikan dan Antarabangsa),  Prof Dr Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin, berkata perkara itu telah dinyatakan oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik kepada jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi menyediakan cadangan kerangka universiti baharu hasil penggabungan itu.

Katanya, Maszlee telah meminta jawatankuasa khas itu memberi idea serta mencipta beberapa nama yang bersesuaian susulan bantahan antara kedua-dua universiti terbabit yang sebolehnya tidak mahu menenggelamkan nama masing-masing.

“Ada cadangan supaya penggabungan ini tidak menyebabkan UMT ‘telan’ UniSZA atau UniSZA ‘telan’ UMT...jadi Menteri Pendidikan tegaskan bahawa ia tidak akan berlaku sedemikian,” katanya pada sesi soal-jawab bersama lebih 200 pelajar UMT dan UniSZA, di sini, hari ini.

Majlis selama lebih tiga jam itu juga turut dihadiri Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir serta beberapa ahli lembaga pengarah dari kedua-dua universiti tersebut.

Menjawab soalan salah seorang pelajar yang mempertikaikan keputusan kerajaan untuk melakukan penggabungan, Cairul Iqbal berkata Kementerian Pendidikan hanya melaksanakan apa yang dihasratkan, namun tidak mustahil ia akan berubah jika berlaku sebarang keputusan lain oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Untuk mengubah keputusan Kabinet ia bukanlah kami (jawatankuasa khas), tapi pihak saudari (pelajar) telah menghantar memorandum kepada Dr Mahathir...beliau akan membuat keputusan. Jika Dr Mahathir kata untuk mengubah, kita akan bantu untuk ubah keputusan tersebut.

“Tetapi jika Dr Mahathir tidak melayan memorandum tersebut, penggabungan ini akan kita teruskan. Ia jelas dan kehadiran kami di sini untuk mendengar apakah cadangan dan keluhan yang kita harap tidak berlaku apabila terlaksana penggabungan nanti,” katanya.

Selain itu, Siti Hamisah berkata kerajaan bersetuju secara prinsip dengan cadangan penggabungan itu dan  ia tidak sepatutnya menjadi perdebatan lagi sebaliknya perlu bersama-sama menjayakan hasrat tersebut.

Beliau turut menegaskan kementerian bukanlah pihak yang mahu menidakkan kehendak pelajar sebaliknya akan mendengar serta mengambil kira pandangan untuk perhatian Kabinet.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel