Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Terengganu laksana rawatan terapi berkuda secara percuma


Tarikh kemaskini: 13/10/2019





SETIU, 13 Okt -- Rakyat Terengganu yang mempunyai penyakit berkaitan tulang dan saraf berpeluang menyertai rawatan terapi berkuda secara percuma bermula akhir bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata ia adalah sebahagian program yang dijalankan oleh Riding For Disable (RDA) Terengganu.

"Dalam pembentangan Belanjawan Terengganu tahun lepas, kerajaan negeri ada memperuntukkan RM500,000 kepada RDA Terengganu dengan fokus kepada kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran.

"Pada masa sama, kita perluaskan program RDA ini kepada rakyat Terengganu yang memerlukan rawatan terapi berkuda, namun mereka perlu mendapatkan pengesahan doktor perubatan terlebih dahulu sebelum mengikutinya," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran RDA Terengganu yang disempurnakan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) dekat Lembah Bidong di sini hari ini. Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan barisan kepimpinan serta pegawai tertinggi kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Wan Sukairi yang juga Pengerusi RDA Terengganu berkata buat permulaan, program terapi berkuda itu akan dibuat di dua lokasi iaitu di TIEP bagi rakyat di sekitar Besut, Setiu dan Kuala Nerus serta di Terengganu Ekuestrian Resort dekat Kuala Ibai untuk mereka yang tinggal di Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.

"Kita akan cuba adakan program rawatan terapi berkuda ini di satu pusat di setiap daerah agar lebih ramai yang menerima manfaatnya pada masa akan datang," katanya. 

Sementara itu, Setiausaha RDA Terengganu Wan Mohd Kamaluddin Wan Yussuf berkata pihaknya menjangka lebih 500 kanak-kanak akan berpeluang menyertai sesi rawatan terapi berkuda sebelum akhir tahun ini.

"Apa yang kita perhatikan, kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran ini lebih berkeyakinan, ceria dan fokus selepas mengikuti beberapa siri rawatan terapi berkuda di TIEP. 

"Buat masa ini, terapi hanya diadakan dua kali seminggu dan kita mahu meningkatkannya kepada enam kali seminggu agar lebih ramai kanak-kanak berpeluang menyertainya," katanya. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel