Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Produk kenaf dan berasaskan arang UMK terima pengiktirafan


Tarikh kemaskini: 13/10/2019





KOTA BHARU, 13 Okt -- Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mendapat pengiktirafan apabila ia menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan syarikat I Medikel Cosmeceutical (M) Sdn. Bhd bagi menjalankan aktiviti penyelidikan serta pengkomersialan menerusi kerjasama dengan industri.

Majlis pertukaran dokumen tersebut dilakukan antara Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK, Prof Dr. Arham Abdullah dan pihak I Medike Cosmeceutical dengan disaksikan Menteri Tenaga,Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.

Ia adalah sempena Persidangan dan Pameran Antarabangsa Produk Teknologi Hijau dan Eko Malaysia (IGEM) ke-10 anjuran Kementerian Tenaga,Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar (MESTECC) berlangsung selama tiga hari di KLCC, bermula 9 hingga 11 Okt, 2019 lepas.

Dalam satu kenyataan, Pengarah Kanan Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi Prof. Ir. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman berkata menerusi kerjasama itu UMK menerima geran pandanan di bawah Rangkaian Penyelidikan Awam-Swasta bernilai RM130,000.00 daripada MESTECC dan Kementerian Pendidikan.

Beliau berkata menerusi geran inovasi itu UMK dengan kerjasama syarikat I Medikel Cosmeceutical telah membangunkan produk penyelidikan di bawah tajuk ‘Use Of Active-Bio Carbon As Active Ingredient For Multifunctional Effect In Personal Care Product’ oleh Prof. Madya Dr. Palsan Sannasi Abdullah.

"Produk penyelidikan itu adalah variasi bahan aktif berasaskan arang yang mempunyai keupayaan pelbagai fungsi untuk digunakan dalam produk penjagaan diri atau kosmetik," katanya.

Ahmad Ziad berkata produk yang diperkayakan dengan sumber semulajadi itu dihasilkan untuk rawatan muka melalui topeng muka arang dan pencuci muka.

“Melalui geran itu kami berjaya meningkatkan imej universiti dalam penghasilan produk yang dapat dikomersialkan serta berpotensi tinggi untuk dimanfaatkan umum,” katanya.

Beliau berkata dua produk penyelidikan UMK juga berjaya ke peringkat akhir Anugerah Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2019 bagi kategori Anugerah Usahawan Penyelidik menerusi produk tersebut.

Selain itu bagi kategori Anugerah Inovator Baharu, UMK mengetengahkan hasil penyelidikan ‘Integrated Kenaf Bio-Processing System-Biozyme Ultimate Debark Unit (B.U.D.U)’ oleh Dr. Mardawani Mohamad.

“Bengkel di bawah Inisiatif MCY merupakan penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi baharu dalam pembangunan teknologi hasil penyelidikan dan pembangunan yang menjadi output kepada industri.

"Objektif MCY adalah mengenal pasti dan membantu proses pengkomersialan yang bersesuaian supaya produk dan perkhidmatan R&D tempatan dapat menembusi pasaran domestik, serantau dan global,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel