Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kehidupan seharian I Ling sebati dengan masyarakat Melayu


Tarikh kemaskini: 13/10/2019




KUALA TERENGGANU, 13 Okt  -- Dilahirkan dan dibesarkan dalam kelompoknya sendiri membuatkan wanita berbangsa Cina ini langsung tidak mengenali adat dan budaya kaum Melayu.

Malah, Lew I Ling, 37, sebelum ini juga tidak mempunyai kawan-kawan berbangsa lain terutama Melayu sehinggalah beliau bertugas sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Cina pada 2005 di sini yang mana kehidupan sehariannya dikelilingi rakan-rakan berbangsa Melayu.

“Apabila bekerja pada masa itu hanya ada tiga wartawan berbangsa Cina di Kuala Terengganu termasuk saya. Jadi saya kena bergaul dengan mereka berbangsa Melayu ketika bekerja.

“Masa itu saya banyak berkawan dengan wartawan-wartawan senior berbangsa Melayu. Mereka sangat mesra dan baik. Saya dijaga seperti adik mereka. Contohnya kalau pergi membuat liputan di mana-mana mereka akan jemput saya di rumah dan pergi bersama-sama mereka,” katanya kepada Bernama di sini.

Dari situ timbul minatnya untuk lebih mengetahui dan memahami budaya dan amalan rakan-rakannya yang berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Malahan, pada bulan Ramadan tahun ini, Lew turut sama-sama berpuasa seperti rakan-rakannya.

Wanita yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan dan membesar di Kuala Terengganu itu turut bangun bersahur dan berbuka puasa sama waktunya seperti umat Islam yang lain demi merasai nikmat berpuasa yang sebenar.

“Saya hanya berpuasa penuh selama dua minggu sahaja. Kerana minggu ketiga Ramadan saya pergi melancong jadi tidak dapat meneruskan puasa. Tetapi walaupun hanya dua minggu saya dapat merasai kebaikan berpuasa. Antaranya badan rasa lebih ringan dan sihat.

“Baru saya faham bagaimana rasa bersyukur apabila kita ada makanan. Setelah kita menahan lapar dan dahaga seharian, nikmat berbuka puasa itu sangat besar,” katanya.

Lew juga mengakui beliau lebih gemar masakan Melayu yang disifatkan ‘kena’ dengan seleranya.

“Semua (masakan Melayu) saya suka, citarasa Melayu yang lemak-lemak pedas sesuai dengan saya seperti ayam masak merah, kuah lodeh, mi soto dan nasi minyak,” katanya.

Beliau berpendapat kurangnya pergaulan masyarakat yang berlainan bangsa dan agama merupakan antara faktor timbulnya pelbagai salah faham yang mampu meretakkan hubungan antara kaum di negara ini.

“Sama ada orang Melayu, Cina atau India kita kena kenal dan faham bangsa dan agama lain. Sekarang ini saya lihat kalau kita tanya orang Cina mereka tidak tahu mengenai Melayu dan begitu juga sebaliknya.

“Apa salahnya kalau hari raya kaum Cina berkunjung ke rumah kaum Melayu dan bila Tahun Baharu Cina orang Melayu berkunjung ke rumah kaum Cina pula. Berkawanlah dengan pelbagai kaum supaya matlamat perpaduan dan keharmonian di negara ini tercapai,” katanya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel