Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis Marin Tok Bali rampas 66 kotak rokok seludup


Tarikh kemaskini: 12/10/2019





PASIR PUTEH, 12 Okt -- Polis Marin Wilayah Tiga, Tok Bali merampas 66 kotak mengandungi 3,300 karton rokok putih bernilai RM349,800, yang cuba diseludup ke negara ini, kira-kira tujuh batu nautika dari Pantai Semerak di sini, pagi semalam.

Komandernya, ACP Norzaid Muhammad Said berkata, pada kejadian kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, sepasukan polis yang diketuai ASP Nik Ali Nik Mat yang melakukan rondaan Ops Gelora, bertembung dengan sebuah bot di kawasan Laut Melawi, Bachok, pukul 3 pagi.

“Apabila menyedari kehadiran bot ronda polis, suspek cuba melarikan diri dengan memecut laju dan berpatah balik menuju ke Pantai Semerak,” katanya pada sidang media di Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Tok Bali di sini, hari ini.

Beliau berkata, selepas kejadian kejar mengejar berlangsung hampir satu jam, suspek bertindak membuangkan kotak-kotak rokok berkenaan ke laut dan melarikan diri.

“Pernah satu ketika bot pasukan polis hampir dirempuh bot suspek, tetapi kami bernasib baik apabila sempat mengelak,” katanya.

Norzaid berkata, rokok-rokok berkenaan dipercayai diseludup dari negara jiran Thailand untuk dipasarkan secara gelap, bagi memenuhi permintaan tinggi di sekitar negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Beliau berkata,  suspek dipercayai rakyat tempatan menggunakan laluan laut dengan bot berkuasa tinggi, selepas menyedari kawalan ketat di sempadan daratan Malaysia/Thailand.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kastam 1967.

Polis akan melipatgandakan usaha pemeriksaan dan rondaan bagi memastikan keselamatan perairan Pantai Timur, berada pada tahap terbaik dalam usaha membendung aktiviti penyeludupan rentas sempadan, katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel