Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Keprihatinan rakan media pengubat kesedihan petugas Utusan Malaysia dan Kosmo!


Tarikh kemaskini: 10/10/2019





KUALA TERENGGANU, 10 Okt -- Keprihatinan rakan-rakan media dari pelbagai agensi berita di Terengganu seolah-olah pengubat keresahan hati setiap wartawan Utusan Malaysia dan Kosmo! sebaik sahaja mereka menerima notis penamatan operasi dua akhbar itu, semalam.

Penolong Ketua Biro Kosmo! Terengganu, Azli Adlan berkata beliau menerima panggilan telefon dan mesej bertalu-talu dari pelbagai pihak terutama keluarga dan rakan media sebaik sahaja berita tersebut tersebar pagi semalam.

"Ada sahabat dari Bernama Biro Terengganu yang datang ke pejabat ketika kami semua sedang berkemas. Memang terasa sebak namun kehadiran mereka seolah-olah menguatkan lagi jiwa dan semangat untuk kami terus menempuh cabaran mendatang.

"Pada sebelah malam pula, lebih 30 rakan media meraikan saya untuk berkongsi 'rasa sedih' akibat hilang pekerjaan. Walaupun hanya pertemuan biasa, ia menyedarkan saya bahawa kami di Utusan dan Kosmo! tidak keseorangan kerana terus mendapat sokongan padu dari rakan media yang lain," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

Ketika ini, Azli akan terus menetap di Terengganu untuk memberi peluang kepada dua anaknya menghabiskan sesi persekolahan 2019 dengan tenang dan lancar apatah lagi mereka akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi.

"Saya masih dalam proses bertenang...masih belum ada perancangan yang pasti untuk dilakukan selepas ini. Mungkin berpindah semula ke Seremban, Negeri Sembilan atau memulakan hidup baharu di kampung...semuanya masih samar," katanya. 

Bagi wartawan Utusan Malaysia, Rosalinda Said, 33, beliau lebih kasihankan nasib kakitangan yang lain memandangkan mereka lebih terkesan dengan penamatan operasi akhbar itu.

Katanya, ada antara pasangan rakan sekerjanya yang tidak bekerja dan selama ini sumber pendapatan utama hanya di Utusan Malaysia dan Kosmo! sahaja.

”Pasti kehidupan mereka lebih perit berbanding saya yang masih bujang ini. Apa pun yang berlaku, saya pasti semua ini ada hikmahnya untuk kami semua diuji seperti ini. Jauh di sudut hati, saya berharap dua akhbar ini akan bangkit dengan lebih gah selepas ini. 

"Namun, pada masa sama, saya juga perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan dan mengintai peluang di agensi berita lain untuk meneruskan kehidupan," katanya yang akan pulang bercuti ke Kajang, Selangor sementara mendapat perkhabaran terbaharu daripada Utusan Malaysia.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel