Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Geran RM2 juta untuk penyelidikan, pengkomersilan UTeM


Tarikh kemaskini: 10/10/2019





MELAKA, 10 Okt -- Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerima geran padanan sebanyak RM2 juta daripada Kementerian Pendidikan bagi mengembang dan memperkasa bidang penyelidikan serta pengkomersilan universiti itu tahun ini.

Naib Canselornya Prof Dr Raha Abdul Rahim berkata daripada jumlah itu, RM400,000 diperuntukkan bagi tujuan pengkomersilan produk atau inovasi yang dihasilkan dalam kalangan pelajar dan pensyarah UTeM.

Beliau berkata setakat ini, penyelidik UTeM telah menghasilkan sebanyak 423 harta intelek sejak tahun 2007 manakala sebanyak 11 produk penyelidikan telah dikomersilkan.

"UTeM sentiasa menggalakkan para penyelidik untuk terus terlibat lebih aktif, menyumbang dan terus berdamping dengan masyarakat menerusi bidang penyelidikan masing-masing. Usaha ini diterjemahkan menerusi penghasilan pelbagai produk penyelidikan baharu dan menambah baik reka cipta produk sedia ada.

"Ini akhirnya dapat memberi manfaat terhadap pembangunan universiti dan masyarakat yang lebih cemerlang," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Karnival Inovasi UTeMEx 2019 di sini, hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Mohd Ghazali Abas dan turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTeM Prof Dr Zulkiflie Ibrahim.

Raha berkata UTeM sentiasa berusaha memastikan semua produk yang dihasilkan berjaya dipatenkan dan dikomersilkan untuk dimanfaatkan pihak industri dan masyarakat selaras dengan hasratnya menjadi penyumbang solusi dalam pelbagai aspek keperluan.

Beliau berkata UTeM turut menekankan usaha melahirkan ilmuan teknologi yang dapat menyumbang terhadap pemerkasaan bidang sains dan teknologi negara.

"Dalam pertandingan Pencipta yang diadakan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia baru-baru ini, semua penyertaan produk penyelidik UTeM telah mendapat pengiktirafan menerusi enam emas, dua perak dan dua gangsa.

"UTeM turut meraih anugerah khas bagi produk inovasi 'River Trash Collector System Mark III' yang memberi impak besar pada kesejahteraan komuniti di Melaka," katanya.

Sementara itu, beliau berkata Karnival Inovasi UTeMEx 2019 bertemakan 'Humanizing Technologies in Digital Era' yang disertai 179 penyelidik dalam kalangan ahli akademik dan pelajar itu berlangsung selama dua hari bermula semalam.

Katanya karnival yang disertai peserta dari universiti awam dan swasta, politeknik, institut latihan perindustrian, kolej komuniti, Maktab Rendah Sains MARA, kolej vokasional dan sekolah itu merupakan platform pemilihan produk penyelidikan dan inovasi terbaik untuk dibawa ke peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Wakil jabatan audit mengaku rakam mesyuarat "pinda laporan audit 1MDB"

 
     

Pasukan audit 1MDB terkejut dengar gugur penyata kewangan - Saksi

 
     

Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji buat penjawat awam negeri

 
     

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel