Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Terengganu susun 100 program dalam kalendar pelancongan negeri tahun depan


Tarikh kemaskini: 10/10/2019





SETIU, 10 Okt -- Seratus program disusun dalam kalendar pelancongan Terengganu tahun depan dalam usaha merancakkan lagi sektor pelancongannya, khusus bagi memastikan sasaran untuk menarik kehadiran lima juta pelancong sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2020 tercapai.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata ia sekali gus akan dapat merangsang perkembangan ekonomi negeri serta rakyat tempatan.

Beliau berkata jumlah itu lebih banyak berbanding hanya 40 program tahun ini, dan menurutnya program-program itu akan terus ditambah baik dari masa ke semasa bagi memastikan pelaksanaannya memberi impak maksimum kepada pelancongan negeri.

"Seratus program yang kita masukkan dalam kalendar (pelancongan negeri) tahun depan ini tidak termasuk aktiviti di daerah-daerah kerana mereka juga mempunyai kalendar tersendiri," katanya selepas merasmikan kursus pemandu pelancong berkemahiran alam semula jadi tahap dua, di sini hari ini.

Merujuk kepada penganjuran kursus hari ini, Ariffin berkata ia bertujuan melahirkan lebih ramai ahli dalam bidang berkenaan yang mempunyai lesen sah dan berdaftar, sebagai persediaan untuk menerima lebih ramai pengunjung dalam bidang eko-pelancongan sempena TMT 2020.

"Alam semulajadi adalah tarikan utama pelancong ke negeri ini selain keunikan Pasar Payang, Taman Tamadun Islam dan beberapa lokasi lagi. Oleh itu kita amat memerlukan pemandu pelancong bertauliah yang benar-benar pakar dan mahir dengan selok-belok hutan, pantai dan pulau agar mereka dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada pelancong,” katanya.

Ariffin berkata selain itu kursus berkenaan juga bertujuan mendedahkan para peserta mengenai keselamatan dan pengendalian situasi sekiranya berlaku kes-kes kecemasan. 

Untuk rekod Terengganu mempunyai seramai 93 pemandu pelancong bertauliah yang terdiri dari 42 pemandu pelancong bandar (lesen biru) dan 51 pemandu pelancong pelancong alam semula jadi (lesen hijau).

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel