Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Ketua Menteri Melaka antara saksi dipanggil beri keterangan isu pencemaran sungai


Tarikh kemaskini: 10/10/2019





MELAKA, 10 Okt -- Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari antara lapan individu dan agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan akan dipanggil memberi keterangan pada sesi pendengaran awam berhubung siasatan pencemaran Sungai Melaka.

Pendengaran awam itu akan berlangsung di Mahkamah Majistret Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini, pada 24 Okt ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kompetensi, Akauntabiliti dan Ketelusan Melaka (Melcat), Damien Yeo Shen Li berkata tujuh lagi pihak terlibat ialah Jabatan Alam Sekitar, Indah Water Konsortium, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, MBMB, Syarikat Air Melaka Berhad, Badan Kawal Selia Air Melaka serta Suruhanjaya Pengurusan Air Negara dan sesi itu bermula dari 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

Beliau berkata, semua pihak berkenaan dipanggil bagi membantu mengenal pasti punca pencemaran Sungai Melaka dan langkah-langkah pencegahan bagi tujuan penambahbaikan sistem pengurusan sungai itu.

"Sesi pendengaran awam ini, yang pertama dilakukan di negeri ini atas faktor demokrasi yang kita amalkan di bawah pemerintahan Pakatan Harapan dan kita mahukan rakyat terlibat dalam sesi ini kerana kita ingin tunjukkan pihak terlibat khususnya agensi Kerajaan Negeri adalah telus, akauntabiliti dan berintegriti dalam proses kerja mereka.

"Sebelum ini, kita telah membuat kira-kira sepuluh taklimat pra pendengaran melibatkan saksi itu kecuali Adly untuk diambil keterangan mereka dan dokumen berkaitan dalam tempoh kira-kira tiga bulan ini," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar berhubung sesi pendengaran awam itu di sini, hari ini.

Turut hadir ialah ahli Melcat iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban Datuk Dr Wong Fort Pin; Gue Teck (ADUN Klebang); Datuk Roslan Ahmad (ADUN Merlimau) dan Datuk Nor Azman Hassan (ADUN Pantai Kundor.

Mengulas lanjut, Yeo berkata orang awam yang mempunyai soalan, pandangan atau pendapat berhubung isu pencemaran Sungai Melaka boleh mengemukakannya kepada Melcat menerusi email, melcat@melaka.gov.my sebelum 22 Okt ini. Orang awam juga boleh mengikuti sesi pendengaran awam itu di kamar pendengaran yang boleh memuatkan kira-kira 100 orang.

Katanya, sesi pendengaran awam itu bukan bertujuan menghukum atau mengadili mana-mana individu atau agensi sebaliknya hasil siasatan, cadangan atau pendapat itu akan diserahkan kepada Kerajaan Negeri atau ia dimasukkan sebagai salah satu risalat dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

"Bergantung kepada pihak kerajaan atau pembangkang atau mana- mana ahli dalam DUN untuk membuat satu usul untuk dibahas atau tidak," katanya.

Sementara itu, beliau berkata Melcat juga sedang menyiasat beberapa isu lain antaranya aktiviti mengorek pasir di perairan negeri ini yang memberi impak secara langsung kepada rakyat Melaka, alam sekitar dan ekosistem.

Pihaknya tidak mahu isu itu memberi imej negatif kepada Kerajaan Negeri dan berharap ia dapat ditangani sewajarnya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Wakil jabatan audit mengaku rakam mesyuarat "pinda laporan audit 1MDB"

 
     

Pasukan audit 1MDB terkejut dengar gugur penyata kewangan - Saksi

 
     

Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji buat penjawat awam negeri

 
     

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel