Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

YSPM anjur program penguasaan Bahasa Inggeris di sekolah luar bandar


Tarikh kemaskini: 10/10/2019




KOTA BHARU, 10 Okt  -- Program amal pendidikan 'English Proficiency Program for Rural School Student' yang dianjurkan oleh Yayasan Sarana Pendidikan Malaysia (YSPM) di dua buah sekolah luar bandar di Kelantan dilihat berjaya meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris pelajar di sekolah berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif YSPM, Mohamad Farid Mahmood berkata walaupun hanya empat bulan penganjuran, perubahan ketara dapat dilihat, terutama apabila ramai kalangan mereka yang terlibat tidak lagi 'malu-malu' berbanding sebelum ini.

"Walaupun rancangan asal adalah bagi memberi pendedahan kepada pelajar yang bakal menghadapi PT3 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi ia sebenarnya memberi impak yang besar kepada pelajar.

"Kita juga sepanjang empat bulan itu sering mengadakan lawatan bagi melihat kesan program kepada pelajar dan hasilnya didapati amat memberangsangkan," katanya kepada Bernama selepas penutup program itu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penambang di sini, hari ini.

Dua sekolah menengah yang terlibat dalam program berkenaan adalah SMK Penambang dan SMK Badang, yang melibatkan 554 pelajar tingkatan Tiga dan Lima.

"Bagi program kali ini ia dibiayai sepenuhnya oleh Alliance Islamic Bank iaitu sebagai program khidmat sosial mereka dan kolaborasi bersama ini ternyata berkesan. Program yang bermula Mei lalu turut melibatkan sembilan orang guru bahasa Inggeris dengan modul pembelajaran khas Bahasa Inggeris," katanya.

Hadir sama pada majlis penutup kali ini adalah Naib Presiden Kanan Alliance Islamic Bank Zulfikar Hashman Jamalkhir dan Ketua Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan Mohd Hassany Hashim.

Mohammad Farid berkata program itu dilaksanakan melalui perkongsian kemahiran mengajar Bahasa Inggeris dengan modul yang dibangunkan khas oleh bekas guru cemerlang yang mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam mengajar subjek itu.

Beliau berkata modul Bahasa Inggeris itu dinamakan 'Guidance to Help Develop for Good Writing' dibangunkan khas berdasarkan buku teks Bahasa Inggeris di dalam dua set mengikut keupayaan dan pencapaian pelajar.

Katanya pelajar dibekalkan dengan dua set modul pembelajaran selain cakera padat yang mengandungi 245 jenis latihan manakala guru yang terlibat dibekalkan dengan bahan pengajaran yang mengandungi latihan bagi melaksanakan Pembelajaran Abad Ke -21.

Sementara itu Mohd Hassany berkata, JPN amat menghargai khidmat sosial yang disediakan oleh YSPM dalam usaha meningkatkan tahap pencapaian Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di negeri ini.

Katanya pelbagai langkah telah diambil bagi memastikan pelajar di negeri ini menguasai bahasa Inggeris dengan baik namun hasrat itu belum tercapai dengan sepenuhnya kerana penguasaan pelajar dalam bahasa tersebut masih ditahap yang agak rendah.

-- BERNAMA.

 


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel