Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Program perpaduan peringkat komuniti dapat sambutan pelbagai kaum


Tarikh kemaskini: 10/10/2019





ALOR SETAR, 10 Okt -- Program perpaduan peringkat komuniti yang melibatkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Kedah kini dilihat sudah disertai pelbagai kaum sekali gus mewujudkan suasana harmoni dan mengeratkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Pengarah Perpaduan Kedah Rohai Zahar Nedi berkata pihaknya mendapati penglibatan pelbagai kaum dalam program berkenaan di peringkat akar umbi itu menunjukkan perubahan baik apabila ahli jawatankuasa (AJK) KRT itu sendiri dianggotai pelbagai kaum.

“Perkara ini sesuatu yang positif...tak melibatkan satu-satu kaum sahaja. Masyarakat pelbagai kaum kini sudah mempunyai pendedahan untuk terlibat dalam aktiviti jabatan (Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Kedah) bersama Rukun Tetangga sendiri,” katanya ketika ditemui Bernama di pejabatnya di sini.

Sehubungan itu, Rohai Zahar berkata isu perkauman yang sering kali disensasikan segelintir pihak dalam media sosial adalah tidak wajar berikutan perpaduan kaum di negara ini khususnya di Kedah tetap utuh berdasarkan pemerhatian pihaknya menerusi penganjuran program perpaduan bersama komuniti setempat.

“Menggembar-gemburkan suatu isu (perkauman), mencari isu yang panas, hakikat di bawah masyarakat sudah matang sekarang. Isu-isu ini kita pantau, yang terlibat ini segelintir mereka belum matang yang hanya melihat apa yang datang kepada dia...(di) Kedah tak ada masalah, apabila kita laksana program dapat kerjasama baik daripada KRT.

“Jadi, saya memohon agar semua rakyat khususnya di Kedah kena pastikan (kesahihan) suatu berita yang sampai kepada mereka, jangan mudah mempercayai sesuatu yang tular kerana ia akan merosakkan perhubungan baik yang ada.

“Kita akan jatuh bukan sebab anasir luar, cuba tengok macam negara Timur Tengah sendiri, jatuh bukan disebabkan anasir luar, tetapi oleh penduduknya sendiri,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata terdapat 482 KRT di Kedah setakat ini berbanding 470 tahun lepas dengan KRT di daerah Kuala Muda direkodkan paling aktif selain Kota Setar dan Kulim.

“Kita percaya jumlah KRT ini akan meningkat dari semasa ke semasa dan saya rasakan hingga hujung tahun ini jumlah KRT di Kedah akan cecah 485 KRT. Nak wujud KRT ini bukan mudah, ia perlu dana yang mencukupi,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     

SPR terpaksa guna pakai persempadanan semula tahun lepas

 
     

Pemanis sokong saranan Anwar Ibrahim semua majlis anjuran kerajaan wajib guna Bahasa Melayu

 
     

Ibu negara Indonesia di Kalimantan: Sarawak, Sabah terima tempias positif

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel