Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

'Bersatu' menerusi tarian singa


Tarikh kemaskini: 10/10/2019





KUANTAN, 10 Okt -- Tarian singa sememangnya sinonim dengan masyarakat berbangsa Cina namun bagi Persatuan Tarian Singa Persatuan Pembinaan Kuantan, mereka dianggotai oleh masyarakat pelbagai kaum. 

Antara 'muka' yang menarik perhatian pada persembahan itu, ialah Naidy Abd Hamid, 36, yang merupakan anak kacukan Murut dan Cina dari Keningau, Sabah yang merupakan antara ahli senior dalam kumpulan tersebut. 

Naidy berkata minat untuk menyertai tarian singa bermula sejak zaman kanak-kanak di Sabah dan sebaik sahaja berpindah ke sini sekitar 2008, beliau terus 'mencari-cari' platform untuk meneruskan minatnya dalam persembahan tersebut. 

"Saya sering bermain di posisi ekor singa dan tidak pernah berasa janggal, walaupun pada awal pembabitan, majoriti yang menyertainya adalah masyarakat Cina... kini tarian singa sudah disertai masyarakat pelbagai bangsa. 

"Banyak yang dipelajari menerusi tarian singa termasuk budaya bangsa lain selain saya juga sudah boleh memahami beberapa perkataan mudah bahasa Cina," katanya kepada Bernama semasa ditemui di Pusat Latihan Tarian Singa dan Naga di Kampung Tengah di sini, hari ini. 

Naidy yang bekerja sebagai penyelia kilang menambah tidak mempunyai masalah untuk berkomunikasi sejak mula terlibat dalam tarian itu, kerana jurulatih akan menggunakan Bahasa Melayu untuk memberi arahan supaya difahami semua. 

Selain itu, tarian singa juga menurut Naidy mengajarnya tentang disiplin selain sebati dengan jiwanya yang suka dengan sukan ekstrem dan sentiasa mahu bergerak cergas. 

Turut mencuri perhatian dalam kumpulan itu ialah pelajar tahun enam, T.Pujagesan yang baharu menyertai kumpulan tarian itu sejak setahun lalu hasil galakan daripada keluarga. 

Pujagesan, 12, berkata ahli keluarganya akan bergilir-gilir untuk menghantarnya menghadiri latihan sebagai sokongan kepada minatnya yang secara tidak langsung menambah kenalannya kerana mereka terdiri daripada pelbagai usia dan sekolah yang berbeza. 

Sementara itu, ketua jurulatih pasukan itu Chan Weng Kit berkata buat masa ini, mereka disertai masing-masing tiga ahli berbangsa Melayu dan India yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar sekolah sekitar Kuantan.

Beliau mengakui tarian singa semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat berbilang kaum kerana ia merupakan satu aktiviti jasmani yang sesuai dengan mereka yang sukakan cabaran kerana perlu sentiasa bergerak pantas. 

“Selain itu, ia juga mengajar setiap ahli untuk saling percaya dan berkomunikasi dengan rakan sepasukan. Ini bukan persembahan seorang diri, sebaliknya memerlukan kerjasama semua untuk menjayakannya,” katanya. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     

SPR terpaksa guna pakai persempadanan semula tahun lepas

 
     

Pemanis sokong saranan Anwar Ibrahim semua majlis anjuran kerajaan wajib guna Bahasa Melayu

 
     

Ibu negara Indonesia di Kalimantan: Sarawak, Sabah terima tempias positif

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel