Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

79 warga China ditahan jalankan pelaburan palsu


Tarikh kemaskini: 09/10/2019





GEORGE TOWN, 9 Okt -- Polis menahan 79 warga China dan tujuh orang warga tempatan yang dipercayai bekerja dengan satu sindiket penipuan pelaburan saham di negara China, namun berpusat di sini dalam serbuan di dua buah banglo di Jalan Logan, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang berkata kediaman mewah itu diserbu kira-kira pukul 7.00 malam selepas intipan dan risikan dijalankan sejak seminggu lepas berhubung kegiatan jenayah di situ.

"Semasa serbuan tersebut terdapat seramai 77 lelaki dan sembilan wanita dalam dua unit banglo tiga tingkat yang terletak bersebelahan itu dan semua mereka sedang melayari komputer di ruang tamu rumah berkenaan," katanya di sini hari ini.

Katanya hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati kesemua mereka  disyaki terlibat dalam aktiviti tipu pelaburan saham di negara China dan menjadikan dua buah rumah itu sebagai tempat operasi sindiket tersebut sejak sebulan lepas.

Menurutnya pemeriksaan ke atas semua warga China itu mendapati semua mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Che Zaimani berkata siasatan juga mendapati sindiket itu menjalankan aktiviti perlaburan saham yang menyasarkan rakyat China dengan menggunakan peralatan komputer dan telefon bimbit sebagai medium komunikasi yang beroperasi di Malaysia sebagai pusat.

"Sindiket itu diketuai seorang lelaki dikenali sebagai Mr Wong yang dipercayai berada di China yang berperanan menghantar warga China ke Malaysia manakala seorang lelaki tempatan dikenali sebagai Jackey menetap di Kuala Lumpur merupakan pengurus kegiatan tersebut di Malaysia," katanya.

Katanya gaji yang ditawarkan kepada warga China adalah sebanyak RMB4,000 (kira-kira RM2,355) sebulan tidak termasuk komisyen manakala untuk warga tempatan ialah RM1,600 sebulan dengan komisyen mencecah RM10,000 sebulan.

Beliau berkata susulan serbuan itu, polis turut merampas pelbagai peralatan digunakan sindiket tersebut yang antaranya 460 unit telefon bimbit, 55 unit komputer riba, 25 unit komputer, 29 unit broadband dan 24 buku catitan di dua buah rumah tersebut.

Katanya semua mereka berumur di antara 20 dan 42 tahun itu kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan ketua sindiket selain pengurus kegiatan itu serta pemilik dua buah rumah banglo tersebut sedang dijejaki," katanya.

Difahamkan sindiket itu mampu mengaut keuntungan puluhan juta ringgit setiap bulan hasil kegiatan tersebut dan mereka berpindah dari satu kawasan ke kawasan lain bagi mengelak dari dikesan polis.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel