Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Membesar dalam keluarga kahwin campur, pupuk rasa harmoni


Tarikh kemaskini: 09/10/2019





Laporan eksklusif oleh: Nur Adila Abdul Wahab

BUTTERWORTH, 9 Okt -- Perkahwinan campur bukan lagi perkara asing atau luar biasa bagi seorang lelaki Punjabi Mohamad Yusof Swaran Abdullah.

Ini kerana Mohamad Yusof Swaran, 50, dilahirkan hasil perkahwinan campur antara mendiang bapanya Karam Singh yang berbangsa Punjabi dan ibunya Anne Vivian Simon, 72, seorang Eurasia.

Malahan beliau juga meneruskan tradisi perkahwinan campur itu dengan mengahwini seorang wanita berbangsa Melayu, Marina Saaid, 50-an.

Mohamad Yusof Swaran berkata bapa saudara dan sepupunya terutama di sebelah ibunya ramai yang berkahwin campur termasuk yang berkahwin dengan bangsa Melayu, Cina, India dan Siam.

"Kahwin campur dalam keluarga saya memang satu perkara biasa. Kalau ikutkan dari nenek saya pun dah ada yang berkahwin campur. Kalau kami semua berkumpul boleh nampak pelbagai bangsa ada. Memang seronok tengok dan harmoni...kami boleh terima antara satu sama lain sebagai satu keluarga," katanya kepada Bernama.

Melihat perkahwinan campur yang sangat sinonim dengan keluarganya, beliau berkata perasaan benci pada kaum lain mahupun isu perkauman tidak pernah timbul dalam hidupnya kerana menganggap semua bangsa sebagai saudara. 

Berkongsi pengalamannya memeluk Islam, beliau berkata niat untuk memeluk Islam itu timbul sejak di bangku sekolah lagi ketika berusia 12 tahun.

Namun, disebabkan perasaan takut terhadap bapanya yang merupakan seorang yang tegas, beliau menangguhkan hasrat itu sehingga berusia 18 tahun.

"Di zaman sekolah dahulu mata pelajaran bahasa Punjabi tak ada, yang ada cuma bahasa Cina, Tamil dan pendidikan Islam. Jadi, kami yang tak ada ini duduk di belakang kelas. Kadang-kadang kami dengar ustaz dan ustazah bercerita dan dari situ timbulnya niat nak masuk Islam itu. 

"Kawan saya juga banyak berkongsi cerita mengenai Islam dengan saya, itu yang buatkan saya lagi kuat mahu masuk Islam ketika saya di Tahun 6. Tapi masa itu tidak berani sebab ayah saya ni orang Punjabi ni 'strict'. Selepas saya habis sekolah dan sudah boleh berdikari saya berani untuk memeluk Islam tanpa pengetahuan bapa saya," katanya.

Mengulas mengenai penerimaan keluarga selepas mengetahui mengenai penghijrahannya, Mohamad Yusof Swaran berkata beliau menyimpan rahsia itu selama setahun sebelum berterus terang dengan orang tuanya dan ibunya bersikap lebih terbuka serta banyak memberi sokongan.

Bagaimanapun, beliau berkata bapanya tidak dapat menerima penghijrahannya itu dan sangat marah dengan tindakannya memeluk Islam.

"Bapa marah saya dan tidak mahu ada apa-apa pertalian dengan saya. Bapa suruh saya keluar dari rumah. Sungguhpun begitu, saya tidak memutuskan silaturahim dengan orang tua saya. Saya selalu ziarah ibu, tapi bapa tak berapa nak layan. Selepas saya dapat anak sulung hubungan kami berdua beransur baik," katanya.

Sementara itu, Marina berkata walaupun beliau berlainan bangsa dalam kalangan keluarga mertuanya, beliau tidak berasa asing dan kekok untuk berada dalam keluarga itu kerana semua anggota keluarga mertuanya menerima kehadirannya serta memberi layanan yang baik. 

Beliau berkata sungguhpun ketika itu bapa mertuanya tidak boleh menerima anak keduanya itu memeluk Islam, namun bapa mertuanya tidak pernah bersikap rasis.

"Bapa suami saya marah sebab kecewa dengan tindakan anaknya itu, bukan sebab dia benci Melayu atau Islam. Bila saya datang rumah keluarga mertua layan dengan baik, tidak pernah sisihkan saya. Malah anak sulung saya bapa mertua pernah jaga, dia sangat sayangkan anak sulung saya tu. Sebelum dia meninggal suami saya yang jaga dan uruskan dia," katanya.

Ditanya jika selepas ini ada dalam kalangan anak-anaknya atau cucu yang berkahwin campur, ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata beliau tidak kisah dan menyifatkan perkahwinan campur itu sebagai satu perkara yang bagus dalam memupuk semangat perpaduan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel