Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

JTK Terengganu kesan 55 majikan lakukan kesalahan babitkan gaji pekerja


Tarikh kemaskini: 09/10/2019





KUALA TERENGGANU, 9 Okt  -- Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Terengganu, mengesan 55 majikan yang disyaki melakukan kesalahan membabitkan gaji pekerja.

Pengarahnya, Mohd Hajazy Jusoh berkata ia dikesan menerusi Ops Gaji Minimum, yang dijalankan dari Januari hingga Sept lalu dan sebanyak 72 kertas siasatan telah dibuka.

Katanya, daripada jumlah tersebut terdapat 24 pertuduhan, dikenakan ke atas majikan membabitkan kegagalan menetapkan kadar upah minima pekerja sebanyak RM1,100, mengikut Seksyen 43 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011. 

Lain-lain pertuduhan ialah berkaitan perlanggaran di bawah Seksyen 19 Akta Kerja 1955 iaitu kelewatan majikan membayar upah pekerja, Peraturan 8 dan 9 Peraturan-Peraturan Kerja 1957 iaitu kegagalan majikan memberikan sesalinan butiran sah berkaitan terma dan syarat pekerjaan, serta butiran upah kepada pekerja.

"Selain itu, terdapat juga pertuduhan berkaitan Seksyen 174 Kanun Keseksaan, kerana gagal mematuhi saman kehadiran serta Seksyen 60K Akta Kerja 1955 iaitu kegagalan majikan melaporkan penggajian pekerja asing dalam tempoh 14 hari. 

"Majikan yang dikompaun atau didakwa di bawah Akta Kerja 1955, boleh dikenakan hukuman denda RM10,000 di bawah akta yang sama, jika disabitkan bersalah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semua kesalahan itu dikesan hasil 1,806 pemeriksaan yang dijalankan JTK, di tempat pekerjaan di seluruh Terengganu.

Hasil pemeriksaan yang dijalankan, sebanyak 171 notis pematuhan juga telah dikeluarkan ke atas majikan terbabit.

Beliau berkata sepanjang tahun ini juga, sembilan  operasi penguatkuasaan berjadual dan 11 operasi bersepadu bersama agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia, seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Terengganu dan Perbadanan Sumber Manusia Berhad (PSMB) telah dijalankan secara serentak, di seluruh negeri.

"Tujuan pemeriksaan dan operasi dijalankan sepanjang tahun adalah untuk memastikan majikan mematuhi semua peruntukan perundangan perburuhan negara. Selain itu, tiada penyalahgunaan tenaga kerja tempatan dan asing dari semua aspek, termasuk pembayaran upah pekerja, penindasan di tempat kerja, waktu bekerja dan lain-lain lagi.

"JTK Terengganu menyeru agar semua majikan di Terengganu menitikberatkan pematuhan undang-undang perburuhan, ke arah mewujudkan sebuah industri harmoni di dalam sesebuah organisasi di tempat pekerjaan," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kedah nafi keluarkan watikah kurniaan Ahli Kehormat DiRaja

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort 448 orang

 
     

PGA9 rampas rokok putih bernilai RM750,000

 
     

Sambutan filem 'Garang - Aku Luar Biasa' mengenai atlet paralimpik kurang memberangsangkan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel