Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Konflik manusia dan kera: Melaka perluas kawasan hutan kekal


Tarikh kemaskini: 09/10/2019





MELAKA, 9 Okt  -- Kerajaan negeri Melaka merancang memperluaskan kawasan hutan kekal di negeri ini bagi mengatasi masalah konflik antara manusia dan hidupan liar seperti kera.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata langkah itu katanya dapat memberikan habitat kekal yang lebih luas terhadap haiwan itu sekaligus mengelak mereka daripada mendekati dan mengganggu kawasan penempatan manusia.

“Salah satu daripada pelan jangka panjang kerajaan negeri adalah mewartakan sebahagian daripada 4,000 hektar kawasan tadahan air yang sebelum ini adalah kawasan ladang kelapa sawit kepada hutan kekal yang boleh dijadikan sebagai habitat baru bagi hidupan liar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan oleh Bernama semalam mengenai isu berkenaan dan cara mengatasi masalah gangguan hidupan liar lain seperti babi hutan terhadap penempatan manusia kebelakangan ini.

 Adly mengakui bahawa usaha memasang perangkap kera serta memindah hidupan liar itu bukanlah satu penyelesaian mutlak.

“Kera banyak berkeliaran di kawasan kampung kerana penempatan haiwan itu tidak dapat diurus dengan baik …saya melihat bahawa usaha menyediakan kawasan habitat kepada hidupan liar seperti kera adalah salah satu daripada jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Beliau berkata selain daripada memasang perangkap kera, dalam jangka pendek kerajaan negeri juga bertindak memindahkan kera ke hutan kekal di negeri jiran namun ianya dilihat sebagai jalan penyelesaian bersifat sementara.

Katanya walaupun Melaka mempunyai kawasan hutan yang terhad ini tidak bermakna bahawa tiada usaha untuk mewujudkan kawasan hutan kekal di negeri ini kerana turut menerima kehadiran binatang liar  dari negeri lain.

Berdasarkan  rekod Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Melaka, rekod aduan gangguan kera di negeri ini bagi Januari hingga September 2019 adalah sebanyak 716 aduan.

Dari jumlah aduan tersebut 268 aduan direkodkan di daerah Alor Gajah, 253 aduan di Melaka Tengah dan 195 aduan di Daerah Jasin. Sepanjang tempoh tersebut juga, sebanyak 2,552 ekor kera telah berjaya ditangkap.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel